
BINTULU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Tiong King Sing menggesa Kerajaan Sabah bertindak segera berhubung kegiatan kutipan bayaran secara haram untuk memasuki Pulau Timba-Timba di Semporna.
Ahli Parlimen Bintulu itu berkata, tindakan pihak tertentu mengenakan caj kepada pelancong tanpa kebenaran jelas menyalahi undang-undang dan merosakkan imej pelancongan Sabah.
“Pulau Timba-Timba adalah tanah milik kerajaan negeri, bukannya tanah persendirian.
“Kutipan bayaran tanpa kebenaran mendedahkan kelemahan penguatkuasaan yang perlu ditangani segera,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau.
Menurutnya, pihak berkuasa telah mengeluarkan notis bahawa tiada bayaran dikenakan, namun masih ada kumpulan mengenakan caj termasuk menggunakan ugutan terhadap pelancong.
Beliau memberitahu, kelemahan penguatkuasaan membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab bertindak sewenang-wenangnya sehingga menjejaskan keyakinan pelancong.
“Isu ini bukan sekadar bayaran, sebaliknya menguji keupayaan penguatkuasaan.
“Jika tidak ditangani, ia boleh menjejaskan reputasi Sabah serta kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa,” tegasnya.
Tiong berkata, kelewatan menangani isu itu turut memberi kesan kepada pengusaha dan pemandu pelancong yang berdepan gangguan serta ancaman daripada pihak terlibat.
Tegas beliau, kerajaan negeri tidak boleh berlengah lagi, sebaliknya perlu menghentikan segera amalan haram berkenaan demi melindungi hak pelancong dan pemain industri pelancongan.
Oleh Carolyne Utih