
SIBU: Masyarakat cina digesa agar terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama demi memastikan pembangunan komuniti dapat diteruskan secara mampan serta memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, sambutan Tahun Baharu Cina bukan sekadar perayaan menyambut kedatangan tahun baharu, malah membawa makna budaya yang mendalam iaitu meninggalkan perkara lama dan memulakan lembaran baharu dengan harapan serta perancangan masa depan yang lebih baik.
“Saat penuh harapan ini memberi ruang kepada kita menilai kembali usaha dan pencapaian sepanjang tahun lalu, di samping merancang hala tuju pembangunan pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Persatuan Cina (UCA) Sibu di salah sebuah hotel terkemuka, di sini malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu berkata, UCA memainkan peranan penting dalam menyatukan kekuatan masyarakat Cina melalui pelbagai usaha termasuk memajukan pendidikan bahasa Cina, memelihara warisan budaya, melahirkan bakat belia serta memperkukuh perkhidmatan kebajikan masyarakat.
“Dalam era perkembangan pesat teknologi maklumat, pertubuhan masyarakat perlu bergerak lebih progresif dengan menyepadukan sumber sedia ada, menghimpunkan kebijaksanaan kolektif serta memperkasa kekuatan komuniti secara menyeluruh,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan peranan sayap belia dan wanita sebagai platform penting dalam memastikan kesinambungan perjuangan masyarakat dapat diteruskan dari generasi ke generasi.
“Tanggungjawab membangunkan masyarakat tidak terhenti pada satu generasi sahaja, sebaliknya perlu diwarisi dan diperkukuh secara berterusan,” ujarnya lagi.
Tiong mengingatkan agar keharmonian masyarakat pelbagai kaum yang telah lama terbina terus dipelihara dan tidak digugat oleh sebarang perbezaan yang boleh menjejaskan kepercayaan serta perpaduan.
“Kerjasama erat antara semua kaum merupakan asas penting dalam mengekalkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara,” katanya.
Beliau turut berharap agar Tahun Melawat Malaysia 2026 dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak untuk mempromosikan kekayaan budaya dan tarikan pelancongan negara, khususnya di Sarawak termasuk bandar Sibu.
Katanya, peluang tersebut mampu merancakkan ekonomi tempatan serta memberi manfaat kepada peniaga, penyedia perkhidmatan dan masyarakat setempat.
“Dengan kerjasama erat antara komuniti, peniaga, kerajaan dan pelancong, kita mampu membangunkan Sibu sebagai bandar yang dinamik dan berdaya tarikan,” katanya lagi.
Beliau turut menggesa masyarakat agar mengekalkan sikap profesional dan mesra dalam usaha menyambut pelancong, selain menonjolkan nilai kejujuran, semangat saling membantu serta rasa tanggungjawab bagi memperlihatkan keramahan masyarakat tempatan.
Pada majlis sama, Tiong mengumumkan peruntukan sebanyak RM100,000 kepada UCA sebagai sokongan kepada pelaksanaan pelbagai program pembangunan komuniti sepanjang tahun ini, khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, ADUN Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh, ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek, Presiden UCA Sibu Ngieng Hock Teck serta yang lain.
Oleh Akun Giman