SIBU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing memberi jaminan bahawa bantuan akan diusahakan kepada penduduk yang terjejas akibat kejadian angin kencang yang melanda Sibu Jaya, semalam.
Beliau berkata, lawatan ke kawasan terjejas hari ini bertujuan meninjau sendiri keadaan mangsa selain mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh disalurkan dengan segera.
“Kita akan bantu mana yang boleh. Apa sahaja yang boleh diselesaikan, kita akan usahakan demi meringankan beban penduduk yang terjejas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat kawasan terjejas di Sibu Jaya, hari ini.
Mengulas mengenai kerosakan rumah asap di Sibu Jaya, Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong berkata, pihak majlis telah mengambil langkah awal dengan menyediakan khemah sebagai kemudahan sementara kepada komuniti yang menggunakannya.
“Pihak kita akan mengadakan perbincangan dengan Amcorp Sibu Jaya Sdn Bhd bagi melihat kemungkinan membantu membina semula rumah asap berkenaan.
“Rumah asap ini penting kepada masyarakat Iban kerana ia menjadi tempat mereka menjalankan aktiviti dan mencari rezeki. Jika ada ruang untuk membantu membina semula kemudahan ini, kita akan usahakan bersama Amcorp Sibu Jaya Sdn Bhd,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan khemah hanya bersifat sementara kerana keadaan cuaca panas menyebabkan kemudahan itu kurang sesuai digunakan untuk tempoh yang panjang.
Sehubungan itu, beliau berharap penyelesaian lebih kekal dapat direalisasikan demi manfaat komuniti terbabit.
Tiong turut mengarahkan pegawai berkaitan supaya menjalankan pemeriksaan menyeluruh di semua kawasan yang terjejas di Sibu Jaya.
Menurutnya, pemeriksaan itu penting kerana terdapat kemungkinan sesetengah kerosakan pada rumah belum disedari pemilik dan hanya dikenal pasti selepas hujan turun.
“Saya telah meminta pegawai turun padang untuk memeriksa semua rumah yang terjejas. Ada kemungkinan bumbung rumah tercabut sedikit tetapi pemilik belum menyedarinya. Apabila hujan turun nanti, barulah mereka mengetahui berlaku kebocoran,” katanya.
Beliau turut meminta laporan lengkap disediakan dalam tempoh segera bagi membolehkan tindakan susulan diambil.
Menyentuh mengenai kerosakan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya, Tiong berkata, kerja-kerja membaiki bangunan yang rosak akan dimulakan dalam masa terdekat selepas peruntukan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) disalurkan.
“Peruntukan telah diberikan oleh KPKT dan kerja-kerja pembaikan dijangka bermula esok,” katanya.
Ketika ditanya mengenai jumlah rumah yang terjejas, Tiong berkata, jumlah sebenar masih belum diperoleh kerana proses penilaian masih dijalankan.
“Saya hanya sempat melawat beberapa buah rumah hari ini. Kita masih menunggu laporan penuh daripada pegawai yang menjalankan pemeriksaan di lapangan,” katanya.
Mengenai persoalan sama ada pemaju akan bertanggungjawab terhadap kerosakan rumah, beliau berkata, perkara itu bergantung kepada rundingan antara pemilik rumah dengan pihak pemaju.
“Itu adalah perkara antara pemilik rumah dan pemaju. Mereka perlu berbincang dan menyelesaikannya bersama,” katanya.
Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai dan Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie.
Oleh Akun Giman





