MIRI: Masyarakat khususnya golongan ibu bapa dinasihatkan untuk sentiasa menjaga keselamatan anak-anak mereka terutamanya pada musim banjir.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ini kerana pada musim banjir air sungai boleh mengalir deras dan berisiko berlaku kemalangan.
“Ibu bapa perlu mengawasi keselamatan anak-anak.
“Orang awam juga diingatkan agar lebih berhati-hati dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.
Kim Shin berkata demikian pada Kempen Kesedaran Awam, Kebersihan dan Keselamatan Sungai di Kampung Piasau Utara di sini, semalam.
Selain itu, Kim Shin juga turut menekankan agar kebersihan di kawasan persekitaran sungai untuk dipentingkan, memandangkan penyakit akan lebih senang untuk menular dalam keadaan banjir melalui sampah sarap yang dibawa oleh air banjir.
Kempen tersebut dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak bagi memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat setempat tentang kepentingan untuk memelihara serta menjaga kebersihan sungai.
Selain itu, program itu merupakan salah satu daripada program persediaan bagi menghadapi musim banjir yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.
Pada majlis tersebut, Kim Shin mengagihkan jaket keselamatan kepada 130 nelayan dan penduduk tempatan di kawasan Piasau Utara.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut yang juga Datuk Bandar Miri Adam Yii, Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Dr. Murni Suhaili, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Miri Kaunselor Jeffery Phang dan Ketua Kaum Kampung Piasau Utara Hipni Sulong.