
KUCHING: Sidang Kemuncak Belia Hutan Hujan (RAYS) 2025 bakal menjadi wadah utama dalam memperlihatkan komitmen Sarawak terhadap pemeliharaan alam sekitar di rantau ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyatakan bahawa acara ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan hutan hujan, bukan sahaja dalam kalangan belia Sarawak, malah melibatkan peserta dari seluruh negara anggota ASEAN.
“Matlamat utama penganjuran RAYS adalah untuk menanam semangat kecintaan terhadap alam sekitar dalam diri golongan muda, memandangkan mereka bakal menjadi pemimpin masa depan.
“Pengalaman yang mereka peroleh di sini dapat memupuk kesedaran serta keinginan untuk terus memelihara bumi, memastikan hutan, sungai, dan alam sekitar sentiasa terpelihara dalam keadaan lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran RAYS 2025 yang diadakan di Muzium Budaya Borneo, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak memaklumkan bahawa program ini menerima sambutan yang memberangsangkan, dengan penyertaan seramai 300 peserta walaupun belum dilancarkan secara rasmi.
“Setakat ini, seramai 300 peserta telah mendaftar meskipun RAYS 2025 masih belum dilancarkan secara rasmi.
“Selain penyertaan dari negara ASEAN, program ini turut disertai oleh pelajar universiti tempatan, ahli Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas), serta wakil belia daripada Junior Chamber International (JCI) dan Majlis Belia Malaysia,” tambahnya.
Untuk makluman, RAYS 2025 akan berlangsung dari 18 hingga 20 Jun 2025 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC). Acara ini bakal menampilkan lebih 15 penceramah dari 12 negara yang akan berkongsi pandangan mengenai pelbagai topik utama seperti pemuliharaan biodiversiti, perlindungan hutan hujan, perubahan iklim, advokasi belia dan pembangunan mampan.
Menariknya, peserta juga berpeluang menyaksikan ‘Rainforest World Music Festival’ (RWMF) pada hari pertama acara. Festival muzik ini bukan sekadar hiburan tetapi turut menyokong inisiatif penanaman pokok di Sarawak sebagai usaha meningkatkan kelestarian alam sekitar.
Turut hadir, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Belia dan Sukan) Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Industri Kreatif dan Seni Persembahan) Datuk Snowdan Lawan, Pengerusi Sarawak Tourism Board (STB) Dato Dennis Ngau dan Ketua Pegawai Eksekutif STB Datu Sharzede Datu Salleh Askor. – UKAS