KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang untuk mempergiat program advokasi di seluruh sekolah di negara ini sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Menterinya, Dato Sri Nancy Shukri berkata kementeriannya menyasarkan untuk melaksanakan program itu di 300 sekolah untuk tahun ini.
Sasaran itu katanya telah berjaya dicapai bagaimanapun, pihaknya akan meneruskan pelaksanaan program advokasi kerana terdapat lebih 10,000 sekolah di seluruh negara.
”Kita tidak akan berhenti (mengadakan advokasi) selagi masih ada kes kerana jumlah sebenar berkemungkinan lebih tinggi daripada yang dilaporkan.
”Hal ini kerana terdapat kes yang melibatkan ahli keluarga sendiri yang tidak dilaporkan kerana malu dan sebab itu, bila ada kes seperti ini, saya minta kepada pihak media untuk ketengahkan supaya masyarakat tahu dan tampil untuk membuat laporan
”Justeru, menerusi advokasi seperti ini, mereka boleh berkongsi dengan kaunselor yang hadir sekiranya tidak mahu bercerita dengan kaunselor sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Serahan Tajaan Rakan Strategik Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi Anjung Kasih dan Bilik Kasih Wanita di Hospital Umum Sarawak di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Nancy berkata bagi memperkukuh usaha membanteras jenayah melibatkan kanak-kanak, kementeriannya juga mewujudkan Direktori Organisasi Berasaskan Komuniti (CBO) di semua daerah sebagai saluran bagi laporan kes penderaan seksual membabitkan kanak-kanak.
”CBO ini masih ramai yang belum mengetahuinya sebab ia masih baru diperkenalkan dan masih banyak lagi yang perlu kita buat.”Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi nombor talian 15999 untuk melaporkan kes kepada Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang baru sahaja dilancarkan baru-baru ini,” tambahnya.
Untuk rekod, jumlah kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkat kepada 1,567 kes pada 2023 berbanding 1,239 kes pada 2022.
Berdasarkan Statistik Kanak-Kanak, Malaysia, 2024, yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia, kesalahan amang seksual secara fizikal pada 2023 juga merekodkan peningkatan ketara iaitu 1,389 kes berbanding 1,147 kes pada 2022.
Turut hadir, Pengarah Hospital Umum Sarawak, Dr Ngian Hie Ung, Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Berhad yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara Ahmad Feizal Sulaiman Khan dan Ketua Pegawai Eksekutif Perinsuran Brokar Sdn Bhd Siti Rafidah Tan Sri Adenan.
Oleh Rynna Sha’erra