KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) optimis bahawa penjenamaan semula Perbadanan Nasional Bhd, melibatkan pertukaran akronim dan logo daripada PNS kepada Pernas akan terus memperkukuhkan kedudukan agensi itu sebagai peneraju dalam pertumbuhan industri francais di Malaysia.
Menterinya Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, industri francais adalah salah satu sektor utama selain daripada koperasi dan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memberi impak yang ketara dan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Selain perniagaan francais, Pernas juga membangunkan usahawan PKS kepada francais yang berpatutan sehingga lebih banyak calon usahawan dapat menceburkan diri dalam perniagaan francais.
“Perniagaan francais dilihat sebagai model perniagaan pilihan bagi usahawan kerana perniagaan francais mempunyai sistem perniagaan mudah diikuti dan sangat berkesan dalam membangunakan usahawan tempatan.
“Saya yakin bahawa ia akan dapat mencapai sasaran MEDAC untuk melahirkan sebanuak 100 jutawan setahun dalam kalangan PKS,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Industri francais berkembang pada tahap positif dengan peningkatan nilai jualan tahunan sebanyak 17.3 peratus bersamaan dengan RM13.3 bilion berbanding RM11 bilion pada tahun 2019.
Setakat ini, sebanyak 1,077 syarikat francais telah didaftarkan dan daripada jumlah itu sebanyak 68 syarikat francais tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa di 70 negara.
Sementara itu, Pengerusi Pernas, Datuk Zakaria Mohd Edris berkata sejak 2004 hingga sekarang, Pernas telah membiayai hampir RM1.3 bilion kepada lebih daripada 5,500 usahawan serta menciptakan lebih daripada 34,000 pekerjaan.
“Seiring dengan penjenamaan semula itu, Pernas akan terus membangunkan lebih banyak jenama francais tempatan secara agresif dengan pelancaran dua projek terbarunya iaitu Project Xcelerator dan Project ‘Be Your Own Boss (BYOB)’ pada awal tahun, ia akan menghasilkan lima usahawan francais tempatan dan 1,000 francaisi,” katanya.
Penjenamaan semula adalah salah satu strategi untuk memberikan gambaran lebih jelas kepada orang ramai mengenai peranan Pernas dalam industri francais dan seterusnya menangani masalah kekeliruan jenama dengan organisasi lain sebelum ini.
Penjenamaan semula itu memperkenalkan logo baharu dan warna lebih moden yang melambangkan sokongan yang diberikan oleh Pernas melalui usaha memperkasakan usahawan.
Pernas dan agensi di bawah MEDAC akan bergerak seiring dan menyokong aspirasi MEDAC untuk menjadikan keusahawanan dan koperasi sebagai agenda utama ke arah mewujudkan ekosistem keusahawanan yang kondusif dan inklusif. – Bernama