SIMANGGANG: Generasi muda khasnya di Sarawak perlu meningkat penguasaan dalam Bahasa Inggeris (BI) bagi menghadapi tuntutan global sarat persaingan kompetitif.
Menteri Muda Kebajikan Datuk Francis Harden Hollis berkata, kepentingan bahasa Inggeris sememangnya tidak dapat dinafikan, kerana ia merupakan bahasa perantaraan diguna seluruh dunia.
“Kita mesti belajar untuk fasih dalam dwibahasa. Bijak dalam bahasa kedua tidak salah untuk mendapatkan lebih banyak ilmu dan pengetahuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program ‘Communication Skills A Diary Of A Youth’ bertempat di salah sebuah hotel terkemuka di sini semalam.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata generasi belia hari ini perlu melakukan transformasi minda dengan menyertai pelbagai program berkaitan penggunaan Bahasa Inggeris anjuran agensi kerajaan atau swasta agar mereka dapat bersaing di peringkat tempatan serta global terutamanya dalam aspek pasaran modal insan.
Beliau turut menjelaskan antara kepentingan menguasai bahasa Inggeris ialah peluang pekerjaan terbuka luas.
“Bahasa Inggeris merupakan bahasa perantaraan di seluruh dunia. Jadi, bahasa Inggeris ini diterima dan digunakan oleh semua negara di dunia.
“Hal ini membuktikan bahawa dengan menguasai bahasa Inggeris, peluang pekerjaan yang terbuka bukan hanya di negara kita malahan juga pada peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Dengan penguasaan bahasa Inggeris yang mampan, kata Harden sudah tentu kita tidak akan bermasalah untuk mendapat pekerjaan yang berprestij terutamanya dengan pihak swasta.
“Begitu juga dengan bidang profesional yang lain seperti akauntan, doktor, peguam, dan pensyarah. Malahan, ahli-ahli politik, iaitu barisan pemimpin negara turut mengutamakan bahasa Inggeris kerana bahasa inilah yang digunakan ketika menyampaikan ucapan supaya dapat menyakinkan pemimpin-pemimpin dunia, di samping memperoleh penghormatan dalam arena antarabangsa,” tegas beliau.
Beliau turut memuji langkah Pejabat Belia dan Sukan Sarawak yang berjaya menganjurkan seumpama di bandar Simanggang.
“Hari ini kelancaran sesuatu urusan dan kejayaan sesebuah organisasi dalam mencapai sasaran misi dan visinya banyak bergantung kepada keberkesanan komunikasi di kalangan kakitangan dalam organisasi tersebut.
“Komunikasi yang berkesan bukan sekadar mampu menyampaikan mesej yang tepat, malah lebih daripada itu, ia mampu membuatkan seseorang pekerja itu diterima, disenangi, dikagumi dan akan menjadi inspirasi kepada orang lain di sekeliling seterusnya mampu melonjakkan kredibiliti dan reputasi organisasinya,” katanya.
Inisiatif Kementerian ini lanjut Harden, seharusnya menjadi titik tolak kepada agensi lain untuk lebih cenderung memperkasakan pembangunan modal insan melalui program-program anjuran mereka.
Turut hadir Pegawai Daerah Sri Aman Mohd Asree Wee, wakil Residen Sri Aman Faizal Asi, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman Awang Mazelan Awang Majit, ketua-ketua Jabatan dan ketua-ketua kaum.
Oleh Adi Safarman