PETRA JAYA: Semua Institut Pengajian Tinggi Islam (IPTI) perlu memanfaatkan teknologi terkini untuk meningkatkan pencapaian pelajar dan kekal relevan dalam arus perdana pendidikan.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, perkembangan teknologi yang pesat perlu dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan keupayaan institusi pendidikan Islam agar ia tidak ketinggalan dalam dunia pendidikan global yang semakin maju.
“Di Institut Pengajian Tinggi Islam (IPTI) juga perlu turut serta memanfaatkan teknologi yang ada hari ini untuk dimanfaatkan oleh para pelajar kita.
“Kita perlu ‘update’ (kemas kini) supaya kita tidak lagi berada di takuk yang lama.
“Kita perlu maju ke hadapan mempertingkatkan lagi keupayaan IPTI dan juga pencapaian pelajar-pelajar, anak-anak yang dididik agar dapat berada dalam arus perdana pendidikan negara dan global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Simposium Pengajian Tinggi Islam Serantau (SIPTIS) di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa usaha untuk mengintegrasikan teknologi dalam pembelajaran tidak harus mengabaikan prinsip asas Syariat Islam.
Mengenai SIPTIS, simposium yang dianjurkan oleh JAKIM melalui Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS), yang julung kali diadakan di Sarawak, berjaya menarik penyertaan lebih 290 orang peserta.
Menurut Sirajuddin, simposium ini bukan sahaja melibatkan penyertaan dari Sarawak, tetapi juga dari seluruh Malaysia dan negara-negara anggota seperti Indonesia dan Brunei.
“Saya yakin dan percaya terdapat banyak pencapaian yang telah dicapai oleh Institusi Pengajian Tinggi Islam di negara-negara anggota lain yang boleh kita kongsi pengalaman untuk meningkatkan kualiti dan mutu pengajaran kepada pelajar-pelajar.
“Saya berharap agar program ini dapat diteruskan secara tahunan, sebagai platform bagi semua pihak berkongsi pengetahuan dan pengalaman,” katanya.
Katanya, laporan mengenai hasil simposium ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Pegawai Kanan Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) yang akan diadakan di Brunei Darussalam pada November ini.
Laporan tersebut akan mengumpulkan maklum balas mengenai sambutan acara ini dan berpotensi menjadi salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam Rancangan Strategik MABIMS 2021-2025.
Turut hadir, Konsulat Agung Negara Brunei Darussalam Sheikh Abdul Mahdani Sheikh Abdul Gani dan Konsul Jeneral Republik Indonesia, Raden Sigit Witjaksono.
Oleh Mohd Neenatul Aizal