JAKARTA: Malaysia dan Indonesia bersepakat untuk meningkatkan jalinan kerjasama berkaitan keselamatan siber dan perkongsian bertaraf antarabangsa di bidang telekomunikasi, agar manfaatnya dapat diperoleh bersama.
Pemimpin dan agensi terlibat dari kedua-dua negara, akan mengukuhkan pengurusan keselamatan siber dan merangka perhubungan yang lebih rapat di forum-forum antarabangsa, termasuk di Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata keselamatan negara perlu diberikan keutamaan di tengah kepesatan perkembangan teknologi serta pelbagai alasan, seperti kepentingan komersil dan hak kebebasan bersuara.
“Ada perkara yang kita perakui, tetapi soal keselamatan dalam negara menjadi perkara yang mesti diberi keutamaan,” katanya dalam sidang media bersama rakan sejawat Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia Johnny Gerard Plate.
Mengenai ITU, Annuar berkata kedua negara, yang berhasrat membida kerusi dalam Majlis ITU untuk Wilayah E – Asia dan Australasia, akan saling menyokong di persidangan pada akhir September ini.
ITU adalah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk teknologi maklumat dan komunikasi yang ditubuhkan pada tahun 1865 dan bertanggungjawab memudahkan sambungan antarabangsa dalam rangkaian komunikasi.
Turut dibahas adalah komitmen dan kesungguhan politik dalam penguatan kerangka kerja perundangankeselamatan siber, isu telekomunikasi dan perkhidmatan over-the-top (OTT).
Perkara lain termasuk infrastruktur telekomunikasi, teknologi satelit, dan naratif dalam talian, yang boleh mengeruhkan hubungan dua hala.
“Harapan saya antara Malaysia dan Indonesia banyak perkara yang boleh dilakukan secara bersama dan seterusnya kita memberikan juga permuafakatan yang lebih besar di peringkat ASEAN,” kata Annuar.
Ini merupakan pertemuan kali ketiga beliau dan Johnny dalam tempoh enam bulan, dengan pertemuan kali terakhir di Singapura.
Beliau diiring Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia Adlan Mohd Shaffieq dan Pengerusi Interim Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Mohamad Salim Fateh serta delegasi, sempena lawatan kerja tiga hari berakhir hari ini. – Bernama