
BINTANGOR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintangor telah menjalankan latihan pengukuhan menyelamat di aras tinggi, baru-baru ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, latihan tersebut dijalankan oleh pasukan bomba di menara BBP Bintangor.
“Demi memastikan kesiapsiagaan anggota bomba terus berada pada tahap tinggi, pihak kami menjalankan latihan ini yang berlangsung selama hampir dua jam.
“Latihan yang bermula pada 8.40 pagi sehingga 10.16 pagi itu melibatkan penyertaan anggota pasukan Charlie BBP Bintangor dengan fokus kepada teknik dan langkah-langkah operasi menyelamat mangsa di bangunan tinggi,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, latihan ini adalah sebahagian daripada modul pembangunan kompetensi anggota bomba agar sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan di kawasan bertingkat.
“Latihan ini penting untuk memastikan anggota bomba mahir dan yakin dalam menjalankan operasi menyelamat di aras tinggi, terutama dalam situasi sebenar yang berisiko tinggi.
“Kami komited memastikan kemahiran anggota bomba sentiasa dikemas kini dan dipertingkatkan,” katanya.
Katanya, ia juga menjadi platform untuk mengenal pasti sebarang kelemahan prosedur dan memperkukuh kerjasama antara anggota bomba dalam situasi yang mencabar.
“Latihan berkala seperti ini akan terus dilaksanakan secara konsisten sebagai langkah memperkukuh aspek keselamatan dan kecekapan pasukan bomba di lapangan,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek