
SARIKEI: Sebuah rumah dua tingkat di Blok 34, Sungai Baji, Kampung Seberang Sarikei terbakar di bahagian tingkat atas sebanyak 60 peratus, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik berkata, dalam insiden tersebut, tiga penghuni rumah berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan.
“Panggilan kecemasan berkenaan kebakaran diterima pada 6.01 petang.
“Saya bersama sepasukan bomba bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, kami bertindak pantas menggunakan teknik pemadaman defensif dan ofensif,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.
Katanya, bahagian bawah rumah tersebut berjaya diselamatkan dan tidak terjejas.
“Usaha pemadaman berdepan cabaran apabila tiada pili bomba berdekatan dengan lokasi kebakaran. Ini menyebabkan kami bergantung sepenuhnya kepada sumber air terbuka.
“Anggota bomba membentang satu aliran 100 kaki dua muncung (nozzle) serta satu aliran 300 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air terbuka dari parit berdekatan.
“Operasi pemadaman kebakaran tamat sepenuhnya pada 8.05 malam selepas kerja memadamkan sisa kebakaran dijalankan,” katanya.
Oleh Earl Anek