SIBU: Peniaga diingatkan supaya tidak menaikkan harga topeng penutup mulut dan hidung secara tidak munasabah dalam situasi orang ramai memakainya sebagai langkah keselamatan dan pencegahan wabak Covid-19.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sibu, Kelyn Bolhassan @ Haliward berkata, tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dikenakan terhadap mana-mana peniaga mengingkari arahan tersebut.
“Sebarang perlanggaran di bawah peruntukan Akta ini bagi kesemua jenis topeng penutup mulut dan hidung boleh dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.
“Bagi kesalahan melibatkan individu, mereka boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM 50,000.
“Syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya apabila ditemui pemberita selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga ke atas farmasi yang beroperasi di Jalan Dr. Wong Soon Kai, di sini semalam.
Pemeriksaan itu turut disertai beberapa pegawai penguatkuasa KPDNHEP yang lain.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan, sepanjang tahun ini KPDNHEP Cawangan Sibu telah menerima sebanyak 72 aduan termasuk 14 aduan melibatkan topeng penutup mulut dan hidung dan satu aduan pensanitasi tangan.
“Tindakan kes pula, sepanjang tahun ini, kita telah mengambil tindakan sebanyak 47 kes dan sepanjang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kita telah mengambil tindakan terhadap tiga kes.
“Jumlah rampasan sepanjang tahun ini melibatkan pelbagai kesalahan adalah berjumlah RM111,047.49,” katanya.
Menurut Kelyn, terdapat lima jenis topeng penutup mulut dan hidung yang ditetapkan sebagai barangan harga terkawal.
Bagi topeng (pembedahan/perubatan) satu lapisan (gelung telinga) harga borong adalah RM5 sekotak dan harga runcit adalah RM7 sekotak, manakala topeng (pembedahan/perubatan) dua lapisan (gelung telinga) harga borong adalah RM8 sekotak dan harga runcit adalah RM10 dan RM0.20 sen seunit.
Untuk topeng (pembedahan/perubatan) tiga lapisan (gelung telinga/gelung kepala) harga borong adalah RM72.50 sekotak dan RM1.45 sen seunit, manakala harga runcit adalah RM75.00 sekotak dan RM 1.50 sen seunit.
“Topeng (pembedahan/perubatan) tiga lapisan (ikatan pada kepala) pula kita meletakkan harga borong pada RM72.50 sekotak dan RM1.45 sen seunit, bagi harga runcit adalah pada RM 75 sekotak dan RM 1.50 sen seunit.
“Bagi topeng (pembedahan/perubatan) N95, harga borong adalah RM100 sekotak, dan harga runcit RM6 seunit. Kelima-lima jenis topeng yang dikawal harganya secara perundangan ini adalah di bawah peruntukan Akta yang sama.,” ujarnya.
Beliau turut berpuas hati dengan pemeriksaan dan pemantauan harga yang dijalankan semalam kerana premis farmasi yang diperiksa menjual topeng itu pada harga yang ditetapkan.
“Kalau mengikut pemantauan yang kita buat, bekalan topeng itu semakin mudah didapati di pasaran pada masa ini, kerana kebanyakan farmasi sudah mula mempunyai bekalan,” tambahnya.
Beliau memohon kerjasama dan perhatian pihak yang terlibat dalam pembekalan dan penjualan topeng itu agar membuat urus niaga secara berhemah dan mematuhi peruntukan harga maksimum yang ditetapkan oleh Kerajaan.