MATU: Tindakan tegas akan diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terhadap pemilik haiwan ternakan seperti lembu yang dibiar merayau di jalanan terutama di kawasan awam tanpa seliaan.
Perkara ini telah dilaksanakan di Daerah Matu oleh PBT dengan menangkap dan menyita lembu di sekitar Kampung Tian Matu setelah aduan dibuat oleh orang awam dan amaran telah dikeluarkan kepada pemilik haiwan berkenaan, namun perkara itu masih berulang.
Ketua Seksyen Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Bandar Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD), Apohrozy Ezrie Ellie berkata operasi sitaan ini merupakan tindakan terakhir setelah nasihat tidak diendahkan.
“Selepas ini, pihak Majlis akan melaksanakan operasi sitaan sekiranya mendapat aduan daripada pihak penduduk setempat,” katanya hari ini.
Beliau juga menasihatkan para pemilik lembu untuk menambat lembu peliharaan mereka dan elakkan dari merayau tanpa seliaan.
Tangkapan dan sitaan lembu ini telah dilaksanakan oleh PBT dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Vaterinar Bahagian Mukah pada 24 Februari yang lalu dan pemilik ternakan ini diberi masa 48 jam untuk menuntut dan dikenakan kompaun sebanyak RM3,000 seekor.
Pemilik lembu tersebut tidak hadir menuntut dalam tempoh yang diberikan, justeru pihak PBT telah mengeluarkan notis lelongan haiwan yang disita pada 4 Februari yang lalu.
Lelongan telah dilakukan pagi tadi di Pejabat MDMD Matu menyaksikan enam pembida hadir dengan harga permulaan RM2000 dengan kenaikan bidaan sebanyak RM100.
Tindakan ini diambil di bawah Polisi Penguatkuasaan Haiwan Ternakan Terbiar MDMD yang telah diluluskan di bawah Mesyuarat Penuh Majlis MDMD 2021.
Polisi ini digubalkan berdasarkan Seksyen 113 LAO 1996 yang lebih menjurus kepada haiwan ternakan di kawasan pentadbiran MDMD. – UKAS