ORANG ramai juga disarankan untuk meningkatkan tahap kebersihan kendiri dan kanak-kanak seperti
memastikan kebersihan tangan dan hanya menggunakan air yang telah dimasak untuk tujuan minum dan
masakan. Foto BERNAMA
KRISIS pandemik Covid-19 berlarutan hampir dua tahun di seluruh dunia menyebabkan ramai lupa tentang bahaya hepatitis dalam kehidupan seharian mereka.
Hepatisis merupakan sejenis penyakit yang menyebabkan keradangan hati akibat jangkitan virus.
Menurut Pakar Bedah Am, Hepatobiliari-Pankreas dan Trauma, Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur, Dr. Affirul Chairil Ariffin, terdapat lima jenis penyakit hepatitis yang dikategorikan sebagai A, B, C, D dan E yang mana kesemuanya berpunca daripada faktor berbeza.
Katanya, virus hepatitis A dan E adalah jangkitan akut yang biasanya disebabkan oleh pengambilan makanan atau air tercemar.
“Sementara itu bagi virus hepatitis jenis B, C dan D pula ujarnya, berjangkit melalui darah atau cecair badan yang boleh menjadi penyakit kronik dan merupakan punca utama kepada sirosis (perut) hati dan kanser hati,” katanya melalui laporan salah satu media tempatan sebelum ini.
TIDAK DIKETAHUI PENYEBABNYA
Bagaimanapun, pada 23 April lalu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui WHO Event Information Site (EIS) melaporkan kejadian ‘Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya’ berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia antara satu bulan hingga 16 tahun.
Malah sehingga 21 April 2022, WHO telah menerima laporan sebanyak 169 kes melibatkan 12 negara dengan United Kingdom melaporkan bilangan kes tertinggi sebanyak 114.
Negara lain yang turut melaporkan kes adalah Sepanyol, Israel, Amerika Syarikat, Denmark, Ireland, Itali, Belanda, Perancis, Norway, Belgium dan Romania dengan setakat ini hanya satu kematian dilaporkan.
Memetik laporan Astroawani baru-baru ini, seorang kanak-kanak lelaki tempatan berumur empat tahun 11 bulan di Sabah disyaki mengalami Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya pada Mac 2022.
Kanak-kanak lelaki itu dilaporkan mengalami gejala jaundis, demam, kurang selera makan, loya dan muntah telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital.
TINDAKAN SEGERA PERLU DILAKUKAN
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, fungsi hepar kanak-kanak ini semakin merosot sehingga memerlukan transplantasi hepar pada 30 Mac 2022 di sebuah hospital di Lembah Klang dan telah discaj dari hospital pada 21 April 2022 dalam keadaan sihat.
“Siasatan awal mendapati kanak-kanak ini tidak mempunyai sejarah penyakit lain selain jangkitan SARS-CoV-2.
“Siasatan masih lagi dijalankan untuk menentukan sama ada kes ini memenuhi kriteria “Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya,” ataupun tidak,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Selain itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Madya Dr. Helmy Azmi berpendapat, tindakan segera perlu dilakukan oleh pihak berkaitan terutama kerajaan negeri dengan memperkasakan surveilans atau pemantauan epidemiologi.
Beliau berkata, pemantauan terhadap penyakit hepatitis atau individu yang disyaki mengalami gejala tersebut seperti yang dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia wajar dilaksanakan segera.
“Pemantauan tersebut perlu melibatkan semua fasiliti kesihatan termasuk klinik komuniti, klinik kesihatan dan hospital awam mahupun swasta,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
AMBIL TAHU GELAJA HEPATITIS
Sementara itu, beliau turut menasihati ramai supaya mengambil tahu gejala-gejala hepatitis seperti kekuningan (jaundis) pada kulit dan mata, muntah-muntah, kencing yang berwarna gelap, najis keputihan dan sentiasa keletihan, agar mereka boleh segera mendapatkan rawatan di klinik yang terdekat.
Bagi kanak-kanak yang mempunyai gejala muntah dan cirit-birit katanya, dapatkan rawatan dengan segera di samping pastikan tidak menghadiri sekolah atau tadika sehingga 48 jam selepas gejala berakhir.
Selain itu tambah Dr. Helmy, kerjasama antara semua agensi terlibat perlu dilakukan terutama bersama dengan pihak akademia bagi melihat kembali kes-kes disyaki hepatitis yang tidak diketahui puncanya berlaku tahun ini.
“Kita perlukan satu rujukan dasar – adakah kes tersebut mempunyai perkaitan epidemiologi dari segi organisma, pencemaran alam atau adakah kita sedang berdepan dengan sesuatu varian virus yang baru?
“Di samping itu, orang ramai juga disarankan untuk meningkatkan tahap kebersihan kendiri dan kanak-kanak seperti memastikan kebersihan tangan dan hanya menggunakan air yang telah dimasak untuk tujuan minum dan masakan,” ujar beliau lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Helmy berkata tiada bukti untuk mengaitkan hepatitis tersebut dengan vaksin Covid-19 justeru, masyarakat umum seharusnya tidak mengeluarkan sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kekeliruan dan sebagainya.
Mengulas lanjut katanya, ia kerana menerusi laporan kes-kes hepatitis akut tersebut baru-baru ini, kebanyakan pesakit adalah kanak-kanak berusia kurang dari lima tahun yang masih belum menerima vaksin Covid-19.
Oleh SYAMIMI HUSNA