
KABONG: Tindakan pantas penduduk Kampung Alit, Kabong, berjaya mengawal kebakaran yang melibatkan sebuah rumah di Jalan Kabong, pagi tadi, sekali gus mengelakkan api daripada merebak dengan lebih teruk.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok menerima panggilan kecemasan pada 11.09 pagi dan tiba di lokasi sekitar 11.23 pagi, kira-kira 36 kilometer dari balai.
Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kabong yang tiba lebih awal di lokasi kejadian mendapati api telah berjaya dikawal penduduk menggunakan sumber air paip.
Pasukan bomba kemudian membentang satu aliran dengan satu nozel dan menjalankan kerja-kerja baik pulih menyeluruh menggunakan air dari parit berhampiran.
Kebakaran melibatkan barangan rumah, longgokan tayar terpakai, serta kira-kira lima peratus struktur rumah. Tiada mangsa cedera atau kemalangan jiwa dilaporkan, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.
Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Domanic Ribun bersama Ketua Balai BBP Saratok, Putra Ila dengan kekuatan 11 anggota.
Turut berada di lokasi ialah enam anggota PBS Kabong, seorang pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta wakil Sarawai Energy Berhad. Operasi dikawal sepenuhnya pada 11.55 pagi dan ditamatkan pada 12.15 tengah hari.
Oleh Adi Safarman