
MIRI: Tindakan pantas pemilik premis menyiram air bagi memadamkan api yang mula marak di ruang sembahyang kedainya berjaya menghalang kebakaran lebih besar dalam kejadian di Batu 8, Jalan Miri-Bintulu, malam ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar 7.38 malam dan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan di lokasi, api sudah dapat dikawal oleh pemilik premis. Tindakan awal itu sangat membantu menghalang kebakaran daripada merebak,” katanya menerusi satu kenyataan tadi.
Katanya, pasukan bomba segera melakukan pemeriksaan keselamatan bagi memastikan tiada sisa api atau bahaya lain di kawasan berkenaan.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Oleh Liong Chai Ling