
BINTANGOR: Tindakan pantas pemilik kebun memadamkan kebakaran rumput di kawasan kebunnya berjaya mengelakkan kejadian tersebut merebak ke kawasan lain, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.55 petang.
“Respons dengan panggilan kecemasan, sepasukan bomba diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Bakar Ujang bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran rumput telah berlaku, namun api telah berjaya dipadam oleh pemilik kebun sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, pasukan bomba di lokasi hanya memastikan api telah padam sepenuhnya dan tiada lagi punca-punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
“Pemantauan di lokasi selesai sepenuhnya pada 4.16 petang.
“Saya menasihatkan orang awam agar tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka, khususnya di kawasan kebun atau padang rumput yang kering kerana ia boleh menyebabkan api mudah merebak,” katanya.
Oleh Earl Anek