SARIKEI: Tindakan pantas orang awam memotong dahan pokok tumbang menghalang jalan di Jalan Baron berjaya memastikan lalu lintas berjalan lancar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pokok tumbang sekitar jam 5.54 petang semalam.
“Respons dengan panggilan kecemasan, sepasukan bomba diketuai komander operasi Bakar Ujang bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati pokok tumbang telah selesai dipotong oleh orang awam dengan menggunakan peralatan khas sebelum pihak bomba tiba,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, tiada tindakan operasi pemotongan batang pokok dilakukan oleh pihak bomba.
“Pasukan bomba hanya melakukan kerja-kerja mengalihkan ranting dan dahan pokok.
“Selain itu, kerja-kerja pembersihan di lokasi dijalankan bagi memastikan laluan pulih seperti biasa dan dalam keadaan selamat.
“Operasi di lokasi selesai sepenuhnya pada jam 6.38 petang,” katanya.
Oleh Earl Anek