

KAWAL KEBAKARAN… Pasukan bomba mengawal kebakaran tingkat bawah bangunan kedai tiga tingkat di Jalan Maju, pagi tadi.
SIBU: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran tingkat bawah bangunan kedai tiga tingkat daripada terus merebak di Jalan Maju, di sini pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.11 pagi.
Katanya, sepasukan 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral bergegas ke lokasi kejadian.
“Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan dua lot premis kedai di tingkat bawah bangunan tiga tingkat telah terbakar 40 peratus,” katanya menerusi kenyataan sebentar tadi.
Katanya, anggota bomba telah berjaya memadam kebakaran dengan menggunakan satu aliran satu nozel 100 kaki hos hantaran, pam jentera dan sumber air dari pili bomba berhampiran.
“Komander operasi juga melaporkan kebakaran tiada melibatkan mangsa. Operasi mengawal dan memadam kebakaran tamat pada 8.04 pagi,” katanya.
Oleh Akun Giman