
SIBU: ‘Setitik darah, selaut harapan.’ Ungkapan ini cukup tepat menggambarkan pengorbanan seorang wanita dari Julau yang tampil menyelamatkan nyawa pesakit dalam situasi kecemasan di Hospital Sibu baru-baru ini.
Misi dinamakan ‘Mencari Darah Jarang Jumpa (Rare) Fenotip Jk-Null’ berjaya menemukan penderma tunggal, Adeline Asong Liang Ching Foong, yang memiliki fenotip Jk-Null iaitu sejenis darah yang amat sukar didapati dan hanya wujud dalam sekitar 0.9 peratus populasi Asia.
Menurut kenyataan yang dimuat naik oleh Bank Darah Hospital Sibu, permintaan segera untuk darah fenotip ini diterima apabila seorang pesakit mengalami pendarahan serius dan memerlukan transfusi darah segera.
Keadaan bertambah rumit apabila pesakit terbabit dikesan mempunyai antibodi Anti-Jk3, yang hanya serasi dengan penderma berdarah Jk-Null.
“Situasi ini sangat kritikal. Kami segera menghubungi pusat darah di Kuching, Pulau Pinang, Ipoh dan Pusat Darah Negara di Kuala Lumpur. Semua pihak memberikan maklum balas yang pantas dan positif,” menurut kenyataan tersebut.
Namun, harapan terbesar hadir dari Sibu sendiri.
“Antara individu yang kami hubungi ialah Adeline Asong. Ketika itu, beliau sedang dalam perjalanan dari Julau ke Sibu atas urusan peribadi. Namun sebaik dimaklumkan mengenai keadaan pesakit, beliau terus menyatakan kesediaan untuk membantu,” jelas kenyataan itu.
Tanpa berlengah, Adeline terus ke Hospital Sibu dan mendermakan darahnya yang merupakan satu tindakan penuh keikhlasan yang membawa sinar kepada pesakit yang sedang bertarung nyawa.
“Pesakit kini stabil dan telah dibenarkan pulang selepas menerima darah dan menunjukkan perkembangan yang positif,” kata tambahnya.
Hospital Sibu dan Bank Darah merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Adeline yang disifatkan sebagai ‘wira senyap’ dalam misi kemanusiaan ini.
“Sikap prihatin, tindakan pantas dan semangat kemanusiaan beliau amat kami sanjungi. Semoga segala urusan beliau dan keluarga sentiasa dipermudahkan dan diberkati,” ujar kenyataan itu lagi.
Misi ini turut mencerminkan semangat kerjasama antara pusat darah seluruh negara, membuktikan bahawa dalam waktu-waktu genting, perpaduan dan keprihatinan rakyat Malaysia kekal menjadi kekuatan utama.
Oleh Tarani Lanting