PUTRAJAYA, 16 Mei (Bernama) — Tindakan kompaun kini boleh dikenakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas individu yang ditahan kerana merentas sempadan negeri tanpa kebenaran, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, ia berikutan masih ramai ingkar terhadap arahan itu walaupun pelepasan pergerakan rentas negeri yang diberikan dari 7-10 Mei lepas, sudah tamat.
“Setakat ini, 146 sekatan rentas sempadan negeri dilaksanakan dan daripada jumlah itu, 238,500 kenderaan diperiksa.
“Semalam, 508 kenderaan yang cuba merentas negeri dengan alasan hendak pulang ke kampung diarah berpatah balik oleh PDRM,” katanya yang juga Menteri Pertahanan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri–menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.
Mengenai kawalan sempadan, Ismail Sabri berkata, 1,408 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba memasuki negara ini secara haram melalui lorong tikus, darat dan laut ditahan dari tempoh 1 Mei sehingga semalam (15 Mei).
Beliau berkata, pihak berkuasa sudah mengenal pasti dan menahan 14 tekong yang terlibat dalam percubaan membawa masuk PATI terbabit.
“Kerajaan akan terus memantau dan mengetatkan kawalan di sempadan darat dan laut terutamanya di lorong-lorong tikus bagi menyekat kemasukan PATI dan memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Mengulas isu pengamal media tidak mengamalkan jarak sosial ketika membuat liputan di masjid yang tular dalam media sosial sejak semalam, Ismail Sabri berkata penganjur mana-mana program yang memanggil media untuk membuat liputan perlu menyediakan tempat bertanda bagi memastikan amalan itu dapat dipatuhi.
“Jika kawasan terlalu sempit, maka mereka (penganjur) boleh mengehadkan jumlah media yang boleh hadir. Kita harapkan setiap penganjur membuat prosedur operasi standard (SOP) khusus untuk pengamal media,” katanya.
Ismail Sabri turut meminta pengamal media untuk mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan ketika membuat liputan.
Ditanya mengenai saranan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) supaya kerajaan mewujudkan prosedur yang jelas untuk ujian COVID-19 secara berkala ke atas pekerja asing dan tempatan, Ismail Sabri berkata, ia bergantung kepada pihak majikan jika merasakan ujian berkala itu perlu dilakukan..– BERNAMA