
KUCHING: Seluruh rakyat Sarawak diharap menjadikan sambutan Hari Gawai Dayak sebagai simbol penyatuan dan komitmen bersama dalam membina masa depan negeri yang lebih maju menjelang 2030.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menzahirkan ucapan Selamat Hari Gawai, Gayu Guru Gerai Nyamai kepada semua anak-anak Sarawak dan juga seluruh komuniti, sama ada yang berada di dalam mahupun di luar negeri.
“Dalam tradisi terbaik Sarawak, perayaan Gawai tidak hanya terhad kepada masyarakat Dayak sahaja, tetapi turut diraikan oleh kaum Melayu, Cina dan lain-lain kerana kita semua bersama menyambut Gawai sebagai anak Sarawak.
“Sambutan ini mencerminkan semangat kebersamaan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum yang menjadi kekuatan sebenar negeri ini,” katanya dalam perutusan yang dikeluarkan, hari ini.
Tambah beliau, kepulangan rakyat Sarawak sempena Gawai juga memberi peluang untuk menilai pembangunan negeri dan menyumbang ke arah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Sarawak pada 2025 sudah pun sangat berbeza daripada Sarawak pada 2020 atau 2015.
“Namun, Sarawak pada tahun 2030 akan menjadi jauh lebih baik kerana kita semua berganding bahu membina Sarawak.
“Kita semua memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan negeri yang lebih maju, bersatu dan sejahtera,” ujarnya.
Beliau menutup perutusannya dengan keyakinan bahawa semangat Gawai yang diraikan ini akan terus menyatukan rakyat Sarawak dan memperkukuh tekad bersama untuk mencapai kejayaan masa depan.
Oleh Masrin Affirah