
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berharap semangat Hari Gawai Dayak dijadikan pemangkin kepada perpaduan masyarakat majmuk Sarawak serta kemajuan berterusan negeri ke arah masa depan yang lebih makmur dan sejahtera.
Dalam perutusan khas sempena sambutan Gawai Dayak, beliau menyatakan bahawa perayaan ini bukan sahaja simbol kepada berakhirnya musim menuai, tetapi juga lambang kerja keras, kekuatan komuniti dan warisan budaya masyarakat Dayak yang telah diwarisi sejak turun-temurun.
“Selamat Hari Gawai. Gayu Guru Gerai Nyamai. Lantang Senang, Nguan Manual. OHA!
“Semoga semangat Gawai Dayak ini dapat mengukuhkan perpaduan masyarakat Sarawak yang berbilang kaum dan kita terus maju, ekonomi terus kukuh dan kekal sejahtera.
“Semangat Gawai bukan sekadar untuk diraikan oleh masyarakat Dayak sahaja malah menjadi landasan untuk seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama untuk saling memahami dan menghargai keunikan budaya serta warisan etnik yang membentuk identiti negeri ini,” katanya dalam perutusan yang dikeluarkan, hari ini.
Tambah beliau, sambutan Gawai merupakan masa yang sangat bermakna untuk menghargai warisan budaya, memperkukuh hubungan kekeluargaan dan mengenang jasa nenek moyang yang telah membina asas kehidupan hari ini.
“Gawai adalah manifestasi budaya yang kekal subur dalam jiwa rakyat Sarawak.
“Semangat ini yang menyatukan kita semua, walaupun berlatar belakang berbeza.
“Para perantau yang pulang ke kampung sempena Gawai diingati agar sentiasa berhati-hati di jalan raya dan mengutamakan keselamatan,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh hala tuju pembangunan negeri menyatakan bahawa Sarawak kini berada di landasan kukuh menuju negeri maju menjelang 2030 iaitu hasil pelbagai inisiatif seperti pembangunan mampan, pengukuhan ekonomi luar bandar dan pelaburan dalam tenaga hijau.
Oleh Masrin Affirah