
BETONG: Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak, Nor Azlan Ibrahim mengadakan lawatan kerja rasmi ke JPJ Cawangan Betong bagi meninjau pelaksanaan tugas serta memahami cabaran yang dihadapi anggota di lapangan.
Lawatan tersebut turut bertujuan memperkukuh hubungan antara kepimpinan jabatan dengan warga kerja di peringkat akar umbi serta memastikan mutu perkhidmatan jabatan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Dalam sesi perjumpaan bersama warga JPJ Betong, Nor Azlan menyampaikan amanat agar semua pegawai dan anggota sentiasa cakna terhadap tanggungjawab masing-masing selain mengekalkan disiplin serta komitmen tinggi dalam setiap tugasan yang dilaksanakan.

Beliau turut menekankan kepentingan semangat kerja berpasukan dan menyeru agar semua anggota terus memperkukuh kerjasama bagi mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan oleh jabatan.
“Setiap anggota memainkan peranan penting dalam memastikan perkhidmatan JPJ kekal efisien dan berintegriti demi kepentingan rakyat,” katanya.
Seramai 17 pegawai dan anggota JPJ Cawangan Betong hadir dalam sesi itu yang diketuai oleh Ketua Cawangan, Jeffery Alfrida.
Lawatan tersebut dilihat sebagai platform penting dalam memperkasakan semangat kerjasama, integriti serta budaya kerja cemerlang dalam kalangan warga JPJ di seluruh negeri.
Oleh Adi Safarman