
BANGKOK, THAILAND: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Menteri Ketiga mengenai Pendaftaran Sivil dan Statistik Vital di Asia dan Pasifik bagi memperkukuh sistem pendaftaran negara.
Shamsul Anuar berkata penyertaan Malaysia dalam persidangan ini adalah langkah penting untuk memperkukuh sistem pendaftaran kelahiran, kematian, perkahwinan, dan lain-lain secara holistik dan inklusif.
“Semua maklumat yang direkodkan ini digunakan untuk menghasilkan statistik yang diperlukan sebagai input penting bagi penggubalan dasar dan perancangan program berkaitan pembangunan penduduk, kesihatan, pendidikan dan pekerjaan serta sumber rujukan yang berguna untuk penyelidik dan ahli akademik,” katanya ketika berucap pada majlis Ramah Mesra Bersama Warga Malaysia di Thailand di sini, hari ini.
Tambahnya, persidangan tiga hari bermula 24 Jun itu memberi peluang kepada negara peserta untuk berbincang mengenai sistem pendaftaran bagi tujuan penggubalan dasar.
Antara yang turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Pendaftaran Negara Sarinah Apisah, serta pegawai dari Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Shamsul Anuar turut menekankan keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap kebajikan rakyat Malaysia di luar negara.
“Melalui kerjasama erat antara Kementerian Dalam Negeri, Wisma Putra, dan agensi berkaitan, kerajaan komited untuk memastikan perlindungan, akses kepada dokumen pengenalan diri, serta kemudahan konsular sentiasa diperkasa bagi diaspora Malaysia,” katanya.
Beliau turut mengajak warga Malaysia di luar negara untuk terus memainkan peranan aktif dalam komuniti, menyumbangkan kepakaran kepada negara, dan menjunjung tinggi nilai murni yang menjadi asas perpaduan rakyat Malaysia.
-Bernama