KUCHING: Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman mengadakan lawatan kerja ke Maritim Negeri Sarawak di Muara Tebas, di sini, hari ini.
Beliau diiringi Timbalan Setiausaha Bahagian I, Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN, Hairuddin Abdullah.
Semasa lawatan tersebut, Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz menyampaikan taklimat ringkas mengenai keadaan serta pengoperasian Kompleks Maritim Negeri Sarawak.
Taklimat itu turut menyentuh perkembangan projek pembinaan jeti operasi tambahan di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Muara Tebas bernilai RM79 juta yang akan dikawal selia dan dilaksanakan oleh Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan (CKIP), Jabatan Kerja Raya (JKR) Persekutuan.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau perkembangan operasi serta projek pembangunan infrastruktur Maritim Malaysia di Sarawak bagi memperkukuh aspek keselamatan dan penguatkuasaan maritim di negeri ini.




