Oleh: Stephanie Juanita Ahlee
MATA mereka sama-sama beralih ke kereta berwarna biru gelap yang baru sahaja melintasi hadapan Kedai Kopi Adeb. Dalam masa yang sama, Laing meneguk kopi dari cawan sehingga tidak sengaja, dia terlupa air kopinya masih berasap-asap panas dan meruap ke udara. Seperti terkena renjatan, dia berhenti serta-merta. Mencarut dalam bisikan yang tidak didengari sesiapa.
Bulin tidak sedar akan perlakuan Laing. Dia masih lagi memerhati kereta pacuan empat roda itu yang sudah berlalu jauh sehingga hilang dari pandangan pada persimpangan masuk kampung mereka.
“Itu kereta orang kerajaan, bukan?” Laing memulakan bicara.
Laing mengangguk. Dia masih lagi menahan lidahnya yang menyengat seperti terbakar kerana kopi panas. “Agaknya ke mana kereta itu pergi? Untuk apa?” Tanya Laing lagi.
“Aku juga tertanya-tanya. Pasti ada yang akan datang ke sini membawa berita sebentar nanti.”
Laing mengacau sudu di dalam cawan kopi agar air kopi itu lebih sejuk dan dia tidak terkejut seperti tadi ketika menghirup kedua kalinya. Nasib baik tiada yang nampak tindakannya yang tergesa-gesa minum kopi panas, fikirnya. Nampak sangat tidak sabar. Akibatnya, lidah seperti terbakar. Dia tersenyum sendirian.
“Beruntung betullah si Kalang. Dia dapat bantuan benih anak ikan daripada kerajaan,” kata satu suara dari sebuah meja. Suaranya lantang dan begitu besar sehingga dapat didengari ke seluruh kedai kopi itu.
“Kan aku dah cakap. Tidak sampai sepuluh minit, sudah akan yang membawa khabar berita mengenai kereta biru tadi,” kata Laing.
Bulin segera bangun. Dia mahu mendengar dengan lebih jelas lagi lalu mendekati meja si pembawa berita.
“Kau ke mana?” Tanya Laing tetapi langkah Bulin lebih laju daripada pertanyaan Laing.
“Banyakkah dia dapat benih anak ikan? Ikan apa?” Tanpa meminta izin, Bulin melabuhkan punggung ke bangku yang kebetulan kosong di hadapan Alim.
Alim sememangnya tidak sabar menunggu reaksi para penduduk yang duduk di kedai kopi apabila mereka mendengar berita yang baru sahaja dia sampaikan.
“Ikan tilapia. Kerajaan beri dia dua ratus benih anak ikan tilapia. Agak banyak tu. Kau pula ada berapa sekarang?”
Air muka Bulin berubah. Berubah kerana kata-kata Alim. Tiba-tiba dia berasa tercabar oleh persoalan yang ditimbulkan oleh Alim.
“Aku..aku masih ada banyak. Setiap bulan aku ada pembeli tetap. Kenapa harus aku berasa risau?”
Alim hanya tersengih melihat perubahan wajah Bulin. Dia tahu, Bulin ada sedikit perasaan tergugat. Di dalam kampung mereka, Bulin satu-satunya yang mempunyai penternakan ikan tilapia.
“Ah, aku nak balik sekarang!” Katanya seminit kemudian sebelum menghirup kopi dengan sekali teguk. Bangun dan menghidupkan motosikal selepas meninggalkan wang kertas satu ringgit sekeping di atas meja sebagai bayaran kopinya.
Bulin tabur baja ikan dengan banyak di atas kolam ikan miliknya. Dia lihat ikan-ikan yang muncul di atas permukaan air, masing-masing melopongkan mulut menanti makanan. “Tiga puluh, tiga puluh satu..ahh! Berapa telah aku kira?” Dia menggaru kepalanya sehingga rambutnya kusut. “Macam mana kalau aku tambah lagi sebuah kolam berdekatan sana?” Dia berbincang dengan dirinya sendiri. Sudah tentu, dia sendiri akan menyetujui cadangannya tanpa perlu berfikir lebih dalam. Dia menuju ke rumah dan membawa peralatan menggali kolam baru.
“Kau buat apa tu?” Tanya Laing yang kebetulan lalu di rumah Bulin.
“Aku nak buat kolam baru. Ikan-ikanku semakin banyak.”
“Oh, begitu! Aku tadi ke rumah Kalang. Kolam ikan dia besar. Segala alatan untuk menternak ikan tilapia kerajaan beri padanya lebih dari mencukupi. Ada baja berguni-guni, penapis air dan sebagainya. Kau tak nak tanya dia bagaimana dia dapat bantuan daripada kerajaan? Mana tahu penternakan ikan kau menjadi lebih maju?” Laing memberi cadangan.
“Tak perlulah! Aku jauh lebih lama menternak ikan daripadanya. Malah, aku dah ada pembeli tetap. Setiap masa akan ada yang membeli ikan tilapia aku. Dia masih jauh lagi untuk berjaya jika dibandingkan dengan aku,” balas Bulin.
“Oh. Kalau begitu, aku balik dululah. Kau pun sibuk ketika ini,” kata Laing.
Tidak menoleh kepada Laing, Bulin terus mengerjakan aktivitinya pagi itu. Dia mendongak ke langit. Tentu kolam baru tidak lama akan siap memandangkan cuaca agak baik.
“Abang. Abang tambah satu lagi kolam ikan?”
“Iyalah. Kau tak nampak aku sedang gali tanah ni?” Jawab Bulin.
Dari bahasa si suami, tahulah Rina yang angin suami tidak berapa baik. “Kolam tu dekat sangat dengan parit. Tak mengapa ke bang? Atau ini disebabkan si Kalang? Rina ada terdengar yang…”
Belum habis Rina berkata-kata, Bulin merengus.
Rina mematikan perbualan itu dengan tidak menyudahkan kata-katanya tentang kolam ikan. Dia masuk ke rumah membiarkan si suami menyambung kerjanya. Dia tahu, sarang tebuan jangan dijolok. Jika tidak, sehingga esok suaminya akan terbawa-bawa sifat barannya. Makan pun tidak mahu. Jangankan bertegur sehingga selesai sesi pujuk memujuk.
Keesokannya, barulah Bulin mengisi air ke dalam kolam ikan yang baru itu. Dia memindahkan beberapa ikan tilapia dari kolam lama dan meletakkannya ke dalam kolam ikan tilapia yang baru. “Cepat-cepatlah bertelur supaya ada banyak anak ikan,” ujarnya sendirian.
Laing meletakkan motosikal di bawah pokok kelapa ketika sampai di rumah Bulin. “Besar juga kolam ikan baru kau ya? Hebatnya kau boleh buat kerja seorang diri.”
“Aku dah biasa. Tak perlulah nak minta bantuan kerajaan. Berdikari! Jangan terlalu mengharapkan bantuan. Sentiasa bergantung dengan orang sahaja! Dulu pun aku sendiri menternak ikan tanpa belas ihsan mana-mana pihak.”
“Aku dengar sebelum ni, Kalang ada sertai kursus penternakan ikan. Eh, kau ingat lagi tak, yang pernah orang kampung cakap mengenai kursus untuk orang desa tu? Kursus itulah yang Kalang sertai.”
“Tak perlu kursus pun! Janji ada kemahuan, semua jadi!” Balas Bulin.
Laing mendiamkan diri. “Bulin, aku lihat kolam ikan kau yang baru ni, macam dekat sangat dengan parit besar,” kata Laing beberapa minit kemudian sambil berjalan ke tepi parit. Dia meninjau kedudukan kolam ikan Bulin yang begitu hampir dengan parit besar.
“Tak ada apalah. Di sini sahaja aku dapat buat kolam baru. Belakang rumah pun sempit.”
Kening Laing dinaikkan mendengar jawapan Bulin.
“Kau tak turun kerja?” Soal Bulin.
Laing melihat jam tangannya. “Aku pergi dululah, ya!”
Bulin menoleh ketika Kalang mengangkat tangan kepadanya semasa dia melintasi rumah Kalang dengan motosikalnya. Tetapi, dia cepat-cepat mengalih perhatian ke arah bertentangan. Sempat juga dia berludah ke tepi. Tidak dapat disembunyikan sifatnya yang begitu tidak puas hati sejak Kalang mendapat bantuan kerajaan menternak ikan tilapia dalam kolam.
Beberapa bulan pun berlalu. Bulin banyak termenung sambil perhati ke siling. Dia baring di atas sofa kayu itu. Fikirannya tembus sehingga tidak sedar si isteri memanggilnya untuk makan tengah hari.
“Sudah. Tilapia yang diternak oleh Kalang sudah ada yang dijual. Ikan tilapia ternakannya cepat besar dan matang. Kelebihan lain dia dibantu oleh kerajaan untuk membekalkan ikan ke restoran yang mengambil bahagian dalam Program Menu Rahmah.”
“Rugi kalau begitu,” balas Bulin.
“Taklah. Dia pun dapat bekalan anak ikan tilapia percuma. Rasanya kau patut bertanya kepadanya.”
Bulin menggeleng. “Tak payahlah.” Tegasnya.
Itu perbualan Bulin bersama Alim dan Laing pagi tadi. Sehingga ke tengah hari ini, dia masih lagi memikirkannya. Fikirannya kacau sehingga menganggunya dalam urusan pekerjaannya seharian.
Bulin baca label pada botol itu berhati-hati. Dia harus melakukannya. Dia hanya perlu memastikan ia tidak diketahui orang. Malam itu, dia menyusup masuk ke rumah Kalang. Malam itu jugalah dia pertama kali melihat kolam ikan tilapia milik Kalang. Sungguh teratur sangkar kolam ikan sebanyak empat buah itu. Struktur kerangka sangkar kolam dibina menggunakan bahan plastik HDPE. Sangkar kolam Kalang juga diatapkan sehingga Kalang tidak perlu risau jika musim hujan. Ternyata penternakan ikan tilapia milik Kalang lebih moden. Dia terpesona selama beberapa minit. Mendengar bunyi orang di dapur, Bulin bersembunyi. Setelah itu, dia menuang racun di dalam botol ke dalam kolam yang mengandungi ikan tilapia matang. Kemudian, pergi dari situ sebaik sahaja misi jahatnya telah selesai dilakukan.
Keesokannya, riuh sekampung berbual mengenai kisah ikan tilapia Kalang di dalam sangkar kolamnya mati diracun. Bulin pura-pura terkejut mendengarnya sedangkan dialah dalang melakukan khianat terhadap Kalang. Semoden bagaimanapun pembinaan kolam Kalang, tetap juga tidak dapat ditewaskan oleh akal Bulin yang penuh sifat dengki itu. Tetapi, Kalang tidak mudah putus asa walaupun dalam kekecewaan. Nasib baiklah, hanya sebuah kolam ikan tilapia sahaja yang terjejas. Dia tidak mahu menyangka sesiapa kerana percaya itu hanya ujian kecil. Dia memasang pagar sekitar rumah agar masalah itu tidak berulang.
“Abang tak nak dirikan pagar kolam seperti yang Kalang telah buat?” Tanya Rina.
Bulin berdiri di bawah tangga dan mengesat peluh setelah balik daripada tanah memberi ikan-ikannya makan.
“Tak perlu. Tak ada orang nak racun ikan kita. Mungkin dia terlalu berlagak, sebab itu orang racun. Nasib baiklah satu sahaja sangkar kolamnya yang diracun. Bayangkan semua. Tentu sakit kepalanya memikirkan bagaimana mahu memenuhi pesanan kerajaan. Buat kecil-kecilan macam aku, dahlah. Jangan takbur sangat mengejar rezeki.”
“Rasanya elok lagi abang buat pagar. Kalau banjir, ikan kita akan terlepas ke parit.” Rina memberi cadangan.
“Tak pernah banjir pun selama ini. Bukan setahun dah abang ternak ikan tilapia.”
Rina mendiamkan diri. Bulin lebih pandai menjawab. Dia hanya risau tetapi Bulin mungkin benar.
Hujan tidak berhenti-henti sejak semalam. Angin juga sangat kuat. Sehingga pokok rambutan di seberang rumah mereka tumbang di atas jalan. Bulin tidak kisah tentang hal itu. Yang menjadi perhatiannya sekarang adalah kolam ikan tilapianya. Kelihatan paras kolam semakin naik dan hampir sebaris dengan lantai tanah. Perasaan risau mulai menyelubungi dirinya. Tidak sedetik pun dia meninggalkan tepi tingkap sambil tidak berhenti memerhati ke arah kolam ikan itu. Matanya tidak beralih ke pandangan lain.
Hujan semakin lebat sehingga bunyi atap sangat berisik akibat ditimpa oleh ribuan mutiara air yang jatuh dari langit. Menambah kegelisahan di dalam hati Bulin. Serentak itu, dia baru sekarang memikirkan cadangan memagarkan kolam ikan seperti yang dikatakan oleh Rina tempoh hari.
Apa yang harus dia buat? Dia menanyakan dirinya. Selama ini, tidak pernah terjadi ikan-ikan tilapia yang dipeliharanya dibawa air kerana kolam ikan yang penuh dan melimpah keluar. Tetapi? Pada kali ini, dia berdepan dengan sesuatu yang dia tidak pernah jangka. Dia sendiri tidak terhitung bilangan doanya pada ketika ini. Hanya Tuhan sahaja yang tahu gelora kebimbangan sedang menakluki keresahan hatinya.
Tidak lama untuk kedua-duanya kolamnya dipenuhi oleh air hujan sehingga melimpah kerana hujan berterusan sehingga ke petang. Air bukan setakat membanjiri kawasan kolam-kolamnya tetapi sehingga ke paras tangga rumahnya. Bulin tidak dapat berbuat apa-apa selain sekadar melihat banjir yang belum lagi surut selagi hujan tidak berhenti. Dia akur dengan kejadian alam. Sedetik kemudian dikejutkan oleh guntur, dia baru sedar itulah pembalasan atas perlakuannya kepada Kalang. Dia duduk menopang dagu mengenang nasib ikan-ikan tilapianya.
Esoknya hujan berhenti setelah semalaman turun tanpa henti. Air juga mulai surut. Tanah berlumpur sehingga dia beberapa kali hampir tergelincir jika tidak bertongkatkan kayu untuk sampai ke kolam ikannya. Air kolam keruh sehinggakan dia tidak tahu sejumlah angka ikan yang terlepas dari kolam ikannya.
Penduduk kampung sibuk mengemas rumah masing-masing akibat hujan yang berterusan. Ada yang banjir sehingga air memasuki rumah. Bagaimanapun, Kalang antara mereka yang terselamat dan bernasib baik kerana rumahnya tidak banjir teruk. Kolam ikannya juga tidak terjejas akibat banjir.
Setelah semua kembali ke keadaan asal, tahulah Bulin yang ikan-ikan di dalam kolam itu kini tinggal tidak sampai puluhan ikan. Malah anak ikan juga tidak kelihatan. Kolam ikan juga menjadi kotor dengan sampah yang dibawa oleh banjir. Dia betul-betul susah hati. Dari situlah sumber pendapatan keluarganya diperoleh selama ini.
Petang itu, sedang Bulin mengumpul sisa sampah yang terapung di atas kolam, ada sebuah kereta masuk bersama Kalang yang menunggang motosikal di hadapannya. Bulin mendekati mereka sebaik sahaja kereta itu parkir di hadapan rumahnya. Rupanya Kalang datang beberapa pegawai kerajaan. Pegawai kerajaan pada asalnya datang untuk mengetahui keadaan kolam ikan Kalang kerana mengetahui peristiwa banjir yang berlaku di situ. Memandangkan mereka telah berada di sana, Kalang mengajak mereka melihat kejadian yang menimpa Bulin.
Setelah berbual selama dua jam lamanya, akhirnya pegawai kerajaan yang berbincang dengan Bulin bercadang membantu Bulin mendirikan semula kolam ikan tilapia yang terjejas dengan cara lebih moden dan selamat. Lebih kurang sebulan dari sekarang, Bulin akan menjadi salah seorang daripada penduduk desa yang diberi peluang menternak ikan tilapia kolam. Bulin bersyukur dan pada masa yang sama dia malu dengan perbuatannya terhadap Kalang. Dia akhirnya berterus-terang dengan Kalang tentang ikan Kalang yang diracunnya tempoh hari.
Sesungguhnya, Kalang tidak pernah berdendam dengan kejadian itu kerana dia percaya dengan rezeki yang diberi Allah adalah adil dan saksama untuk semua umatnya. Malah, dia berasa gembira kerana ada rakan sekampung yang akan sama-sama menternak ikan tilapia. Bulin memeluk Kalang sebagai tanda terima kasih dan mengakhiri segala sifat dengkinya terhadap Kalang.