
LIMBANG: Usaha membangunkan tiga wilayah di Borneo melalui rangkaian jalan raya, adalah sejajar dengan semangat kerjasama Asean.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kebetulan pula Malaysia mempengerusikan Asean tahun ini, pada ketika peluncuran projek Jalan Penghubung Sarawak Sabah (SSLR).
“Jadi kita membangunkan tiga wilayah seborneo ini, Brunei, Sabah dan Sarawak dihubungkan dengan jalan baharu.
“Ia tidak berhenti (di situ) saja, kita juga akan membangunkan jalan dari Marudi Baram hingga ke Mulu, yang akan dihubungkan dengan jalan SSLR yang dibangunkan hari ini,”katanya berucap pada majlis peluncuran SSLR yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pekan Nanga Medamit di sini hari ini.
Abang Johari berkata projek perhubungan itu sangat penting dalam usaha Sarawak membangunkan kawasan ASEAN dan secara kebetulan Perdana Menteri menjadi pengerusi ASEAN tahun ini.
Sarawak jug katanya akan membangunkan jalan pesisir, sekali gus turur menghubungkan Sarawak, Sabah dan negara jiran Brunei Darussalam.
Beliau berkata jalan pesisir itu juga akan menghubungkan Miri hingga ke Lawas dan Sabah.
“Gunung Buda dihubungkan dengan Mulu untuk memajukan kawasan utara Sarawak termasuk Baram. Ini akan terlaksana dengan ada kerjasama erat dengan pemimpin pusat,” katanya.
Abang Johari berkata turut dibangunkan di utara Sarawak adalah bekalan elektrik dan air dengan peruntukan yang disalurkan melalui Sarawak Water Bhd.
“Dengan ada jalan raya, bekalan air dan elektrik, kegiatan ekonomi, pelancongan dan sektor pertanian akan dimantapkan lagi,”jelasnya.
Katanya, melalui kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak akan dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat Malaysia.
“Bersempena Hari Malaysia 16 September ini, Perdana Menteri bersama membangunkan Malaysia yang berjaya di masa hadapan,”katanya.
Oleh ADENG EDRUS