
SARIKEI: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun bersama dua wanita berumur 20 dan 26 tahun berdepan detik cemas apabila kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan kendiri.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.01 petang hari ini.
“Sebanyak empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarikei segera bergegas ke lokasi kemalangan yang terletak tidak jauh dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Paoh,” katanya ketika dihubungi.
Setibanya di lokasi, pasukan APM menjalankan pemeriksaan awal ke atas tiga mangsa kemalangan.
Mangsa pertama mengalami calar di bahagian kaki kiri, mangsa kedua mengadu sakit di dada, manakala mangsa ketiga mengalami luka terhiris di atas kening mata.
Semua mangsa kemudiannya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi menyelamat dan penghantaran mangsa selesai sepenuhnya pada 2.00 petang.
Oleh Earl Anek