KUCHING: Tiga universiti di Sarawak akan mengadakan kajian mengenai isu penuaan dalam masyarakat di negeri ini tahun depan sebagai persediaan menghadapi fenomena itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata tiga universiti yang terlibat adalah Universiti Swinburne Sarawak, Universiti Curtin Sarawak dan Universiti Teknologi Sarawak (UCTS).
Katanya, kajian yang akan dijalankan itu termasuk pemetaan profil warga emas, mengenalpasti isu serta cabaran terhadap penuaan masyarakat di negeri ini.
“Sarawak bakal mencapai status negeri tua menjelang 2028, lebih awal berbanding jangkaan seluruh negara mencapai status itu pada 2030.
“Trend populasi warga emas di Sarawak juga telah meningkat 0.55 peratus setiap tahun sejak 2020 di mana sebelum ini kerajaan Sarawak juga telah berkolaborasi dengan My Ageing, Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menjalankan penyelidikan.
“Ini adalah untuk mendapatkan input berasaskan bukti bagi pembangunan dasar dan program serta pelaksanaan intervensi bersasar,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak di kediamannya di sini, hari ini.
Fatimah juga mengumumkan persaraan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datu Rashidah Bolhassan.
“Ucapan terima kasih atas sumbangan dan sokongan yang telah diberikan semasa menjadi Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT