Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Tiga termasuk wanita warga asing ditahan dalam tiga serbuan dadah di Kuching
  • JENAYAH

Tiga termasuk wanita warga asing ditahan dalam tiga serbuan dadah di Kuching

Utusan Sarawak 5 hours ago
PELBAGAI jenis dadah yang dirampas daripada tiga suspek

KUCHING: Tiga individu termasuk seorang wanita warga asing ditahan dalam tiga serbuan berasingan berkaitan dadah di sini, Sabtu lalu, dengan polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM3,112.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Polis (ACP) Alexson Naga Chabu, berkata serbuan pertama dilakukan sekitar 12.45 tengah hari di sebuah rumah di Jalan Nanas Barat.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun ditahan dan polis merampas 40 biji pil Erimin 5 seberat 12.28 gram serta 10 paket plastik lut sinar berwarna biru mengandungi ketulan disyaki ketamin seberat 5.40 gram, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1,880.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif ketamin dan benzodiazepine. Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam serbuan kedua sekitar 1.30 petang di kawasan Jalan Astana, Petra Jaya, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun turut ditahan.

Polis menemui sembilan paket plastik lut sinar pelbagai saiz mengandungi ketulan disyaki methamphetamine seberat 5.50 gram dengan nilai anggaran RM605.

“Suspek didapati positif amphetamine dan methamphetamine. Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau,” katanya.

Serbuan ketiga dijalankan sekitar 2.05 petang di sebuah rumah di Jalan Green, yang membawa kepada penahanan seorang wanita warga asing berusia 19 tahun.

Dalam serbuan itu, polis merampas satu paket plastik lut sinar mengandungi ketulan disyaki methamphetamine seberat 5.70 gram bernilai RM627.

“Suspek wanita itu juga didapati positif amphetamine dan methamphetamine serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Ketiga-tiga kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun serta sebatan antara tiga hingga sembilan kali, jika sabit kesalahan.

Semua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 26 Februari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan.

Serbuan dijalankan oleh pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching hasil risikan berterusan serta maklumat orang awam.

Alexson menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran, pemilikan atau melindungi aktiviti dadah.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang. Dadah adalah musuh nombor satu negara.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian hotline JSJN di 012-208 7222 atau hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211,” katanya.

Oleh Connie Chieng

Continue Reading

Previous: Dua remaja ditahan, dua motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan
Next: Dua lelaki tempatan ditahan dalam kes jenayah komersial di Bau

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.