SIBU: Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak (TTPRS) petang semalam telah mengarahkan tiga syarikat pemaju membayar ganti rugi berjumlah RM58,109. 91 bagi tiga kes tuntutan daripada pembeli atas kegagalan menyerahkan rumah dalam masa yang telah ditetapkan.
Presiden TTPRS, Trabawan Mandi mengarahkan pemaju terbabit agar membayar ganti rugi tersebut dalam tempoh 45 hari kepada pihak penuntut iaitu Maslio Jamil, Tie Teck Yew dan Chua Ling Ling serta Yong Yuk Wei dan Kelly Ngae Siew Wen.
“Jika pemaju gagal berbuat demikian, boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 53(1) Ordinan Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Lesen) 2013,” jelasnya pada sidang media petang semalam.
Katanya, dalam kes pertama, TTPRS mengarahkan syarikat pemaju membayar ganti rugi sebanyak RM17,559.91 kepada Yong Yuk Wei dan Kelly Ngae atas kelewatan menyerahkan rumah selama 43 bulan 27 hari.
“Bagaimanapun, syarikat telah membayar ganti rugi berjumlah RM12,400.00 kepada penuntut, dengan baki tuntutan perlu dibayar sebanyak RM5,159.91 ,” ujarnya.
Di dalam kes kedua, katanya, TTPRS mengarahkan syarikat pemaju membayar ganti rugi RM18,130.00 kepada penuntut Tie Teck Yew dan Chua Ling Ling atas kelewatan menyerahkan rumah selama lebih 60 bulan.
“Untuk kes yang ketiga, TTPRS mengarahkan sebuah lagi syarikat pemaju membayar ganti rugi sebanyak RM22,420.00 kepada Maslio Jamil, meskipun penuntut tidak hadir ketika prosiding kes petang semalam,” ujarnya.
Selain Trabawan, ahli panel tribunal yang lain ialah Alhadi Ibrahim dan Mohammad Abdul Aziz Ariffin.