Tiga suspek ditahan curi 10 tong minyak masak terpakai

Facebook
WhatsApp

MIRI, 7 Oktober: Polis menahan tiga suspek termasuk dua wanita dipercayai terlibat dalam kes mencuri 10 tong berisi minyak masak terpakai di belakang sebuah kedai makan di Taman Tunku, di sini, pada 30 September lalu.

Ketua Polis Daerah Miri (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 11.51 pagi hari sama, dengan kerugian dianggarkan RM400.

Kejadian kira-kira 1.25 pagi itu dipercayai dilakukan dua lelaki dan seorang wanita sebelum perbuatan mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

Ketiga-tiga suspek dilihat mengambil kesemua tong berkenaan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Bertindak atas maklumat dan hasil risikan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun bersama dua wanita tempatan, masing-masing berusia 41 tahun, di Ara Mutiara Phase 1, Jalan Tunku Abdul Rahman, kira-kira 2.30 petang pada 3 Oktober lalu.

Hasil pemeriksaan, polis berjaya menemui semula tiga tong yang masih mengandungi minyak masak terpakai dan enam tong kosong milik pengadu, selain dua keping resit jualan minyak masak terpakai.

Polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan perbuatan tersebut.

Ketiga-tiga suspek direman selama dua hari sehingga 6 Oktober bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Polis turut memuji keprihatinan orang awam dalam menjaga keselamatan harta benda serta kerjasama diberikan kepada pihak berkuasa dalam usaha membanteras kegiatan jenayah.

PDRM Miri menegaskan komitmen untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Oleh Adum Liu