
SARIKEI: Sistem perparitan di tiga lokasi yang sering dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat telah siap dinaik taraf sepenuhnya hasil usaha berterusan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Projek penambahbaikan tersebut melibatkan kerja menaik taraf saluran air di tiga lokasi iaitu di Jalan Rejang, Jalan Repok, dan lorong belakang Jalan Hospital berhampiran Klinik Kesihatan Sarikei, sebagai langkah jangka panjang menangani masalah takungan air dan limpahan parit.
“Projek ini dilaksanakan bagi memastikan aliran air hujan lebih lancar dan mengelakkan gangguan terhadap aktiviti harian penduduk serta pengguna jalan raya,” kata Huang ketika dihubungi hari ini.
Kerja menaik taraf melibatkan pembinaan saluran sepanjang 326 meter dengan kedalaman 1.2 meter di Jalan Rejang, serta 162 meter di Jalan Repok dengan kedalaman antara 1.2 hingga 1.5 meter manakala bagi lorong belakang Jalan Hospital, sistem U-Drain berukuran 1.8 meter lebar dan 1.8 meter dalam telah dipasang sepanjang 73 meter.
Menurut Huang, beliau bersama pasukan Pusat Khidmat Repok telah turun padang baru-baru ini bagi meninjau dan memantau perkembangan kerja naik taraf di ketiga-tiga lokasi.
Beliau prihatin terhadap penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan tersebut yang berdepan dengan masalah banjir kilat yang sering berlaku selepas hujan lebat.
“Saya telah menghubungi jabatan berkaitan untuk mengenal pasti punca sebenar dan mencari penyelesaian terbaik.
“Penambahbaikan sistem perparitan telah dilaksanakan agar laluan air tidak tersekat, sekali gus mempercepatkan aliran air hujan dan mengelakkan kejadian banjir berulang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat atas sokongan berterusan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), serta kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, atas peruntukan yang telah disalurkan bagi pembangunan kawasan Parlimen Sarikei.
“Usaha ini menyumbang secara langsung kepada pembangunan kawasan bandar, luar bandar serta penempatan rumah panjang,” katanya.
Oleh Earl Anek