
KUCHING: Tiga rumah dua tingkat musnah dalam satu kebakaran yang berlaku di Lorong 6B1, Taman Beverly Garden, Jalan Kuching-Serian, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.53 pagi.
Komander Operasi, PBK I TBBK II Shaiful Ismail berkata, kebakaran melibatkan tiga rumah kediaman dengan tahap kerosakan yang berbeza.

Menurutnya, rumah pertama dilaporkan musnah sepenuhnya dan didiami seramai 10 orang. Rumah kedua pula mengalami kerosakan dianggarkan sekitar 60 peratus, manakala rumah ketiga terbakar kira-kira 40 peratus dan dihuni enam orang.
Katanya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut walaupun kebakaran berkenaan mengakibatkan kerugian harta benda yang besar.
Dalam kejadian sama, beberapa kenderaan yang berada di lokasi turut musnah akibat kebakaran melibatkan kenderaan Toyota Unser, Perodua Viva serta dua motosikal jenis Yamaha LC 135 dan Yamaha 100.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.