

SELAMAT… Tiga remaja perempuan yang sesat hilang arah ketika melakukan aktiviti mendaki di Taman Negara Lambir ditemui dalam keadaan selamat semalam.
MIRI: Tiga remaja perempuan yang dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti mendaki di Taman Negara Lambir ditemui dalam keadaan selamat setelah berjaya dihubungi pada 5.00 petang semalam.
Menurut Balai Bomba dan Penyelamat Pusat Miri, pihaknya menerima panggilan kecemasa pada 4.31 petang sebelum sebuah pasukan dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak sekitar 35 kilometer dari pusat bandar raya.
Katanya, percubaan awal untuk menghubungi ketiga-tiga remaja bagi menentukan lokasi mereka gagal, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka serta keadaan bentuk muka bumi di kawasan tersebut.
“Anggota Bomba dan Penyelamat tiba di lokasi pada jam 4.52 petang dan segera menjalankan operasi mengesan individu yang dilaporkan hilang.
“Pada 5.00 petang, komunikasi akhirnya berjaya dilakukan dengan ketiga-tiga mereka yang didapati selamat. Kesemua mangsa merupakan gadis remaja tempatan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pasukan bomba turut dibantu oleh pihak polis tempatan dan renjer taman yang bekerjasama dalam usaha mengesan ketiga-tiga remaja tersebut.
“Pada 7.30 malam, ketiga-tiga gadis tersebut ditemui dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Pemeriksaan perubatan yang dilakukan di lokasi turut mengesahkan bahawa tiada seorang pun daripada mereka cedera.
“Kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat dan pada 9.45 malam, mereka telah diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing untuk dibawa pulang ke rumah,” katanya.
Oleh Adum Liu