

BINTULU: Tiga projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan kos keseluruhan RM690,000 dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak bagi menambah baik infrastruktur asas dan menangani isu hakisan di tapak perkuburan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, projek berkenaan melibatkan pembinaan benteng, dinding penahan serta kemudahan jalan masuk yang dikenal pasti berdasarkan keperluan masyarakat setempat.
Menurut beliau, projek pertama melibatkan pembinaan dinding penahan dan menembok kawasan tapak kubur Kuala Serupai yang digunakan oleh enam rumah panjang dengan kos RM440,000 bagi menghalang hakisan.

“Projek kedua pula melibatkan pembinaan pembetung dan jalan masuk ke Rumah Lebong Luang di Sungai Seterus dengan kos RM150,000.
“Manakala projek ketiga adalah pembinaan tembok penahan jenis ‘gabion wall’ di sungai Sebuan Besar dengan kos RM100,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa lawatan penyerahan tapak projek RTP Bina Baharu Tembok Penahan di sungai Sebuan Besar, Jepak di sini, hari ini.
Iskandar berkata, pelaksanaan projek RTP berkenaan dijangka memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya komuniti rumah panjang melalui penambahbaikan infrastruktur asas serta pengurangan risiko hakisan di kawasan terlibat.
Oleh Carolyne Utih