
BINTANGOR: Usaha memperkukuh kemudahan asas luar bandar terus diperkasa apabila sebanyak tiga projek di bawah Program Mesra Rakyat (PMR) akan dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar Parlimen Sarikei, melibatkan kerja menaik taraf serta pembinaan jalan konkrit bagi kemudahan penduduk setempat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata pelaksanaan projek tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam menambah baik kemudahan asas yang menjadi keperluan harian masyarakat.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, usaha itu juga bertujuan memastikan jaringan perhubungan di kawasan terlibat berada dalam keadaan lebih baik dan mampu menyokong perkembangan sosioekonomi penduduk.
“Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
“Ia adalah bertujuan agar kemudahan yang disediakan memberi manfaat kepada komuniti setempat,” katanya kepada media, hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa projek tersebut adalah sebahagian daripada perancangan berterusan bagi memperkukuh kemudahan infrastruktur luar bandar di bawah Parlimen Sarikei.
Antara laluan yang terlibat adalah Jalan Yek Nai Chie, Ting Heng Ing dan Jalan Yii Ung Ngie di Kilometer 11, Jalan Kelupu yang sering digunakan oleh penduduk setempat sebagai laluan utama harian.
Pelaksanaan projek tersebut dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan setempat selain meningkatkan tahap keselesaan serta keselamatan pengguna jalan raya di kawasan terlibat.
“Pelaksanaan projek ini diharap dapat memberi kesan positif kepada pembangunan setempat serta meningkatkan tahap kemudahan awam di kawasan Parlimen Sarikei,” katanya.
Hadir menyaksikan serah tapak projek PMR tersebut baru-baru ini ialah Wong Soon Mee selaku wakil kepada Tiong Sii dan Pegawai Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO), Kumpang Brandah.
Oleh Earl Anek