

ISKANDAR Turkee meninjau salah satu lokasi projek RTP 2025 di Jepak, hari ini.
BINTULU: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak bakal menikmati kemudahan baharu melalui tiga projek naik taraf yang dicadangkan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, projek pertama melibatkan pembinaan jalan raya sepanjang 260 meter bernilai RM350,000 dari jalan utama ke Klinik Kesihatan Kuala Tatau.
“Pesakit dan ambulans kini terpaksa menggunakan jalan kampung yang sempit, sekali gus menyukarkan pergerakan kecemasan,” katanya selepas meninjau tapak projek bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Bintulu di sini, hari ini.


ISKANDAR Turkee meninjau salah satu lokasi projek RTP 2025 di Jepak, hari ini.
Menurutnya, beliau juga telah memohon kepada Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni agar Klinik Kesihatan Kuala Tatau dinaik taraf dan cadangan itu akan dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Projek kedua pula membabitkan kerja naik taraf Balai Raya Kampung Warisan Jepak dengan tambahan bangunan sepanjang 15 meter serta kemudahan tandas baharu.
Menurut Iskandar, usaha itu memberi ruang lebih luas untuk penganjuran aktiviti masyarakat termasuk acara sukan dalam dewan.
Lokasi bagi lokasi ketiga adalah Hab Komuniti Jepak yang mana ia bakal menempatkan gerai, ruang khas wanita dan belia, bilik Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), ruang menunggu serta tempat solat.
“Hab Komuniti ini akan menjadi pusat aktiviti setempat yang dikendalikan sepenuhnya oleh pihak KMKK Jepak di bawah pengelolaan Penghulu Idil Ismail,” ujarnya.
Beliau berkata, projek berkenaan selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan kesejahteraan rakyat di kawasan kampung dan luar bandar.
Oleh Carolyne Utih