KUCHING: Tiga program utama di Sarawak yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini hingga awal September ditangguhkan susulan keadaan jerebu dan kualiti udara tidak sihat di beberapa kawasan negeri.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga dengan mengambil kira keadaan semasa serta keutamaan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan orang awam.
Program yang ditangguhkan ialah Program Sarawak Ku Sayang yang dijadualkan pada 28 hingga 30 Ogos di Mukah, Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2026 pada 30 dan 31 Ogos di Kapit, serta Sambutan 100 Tahun Rumah Mendit Penom, Spaoh pada 1 September.
Menurut JPBNS, pemantauan berterusan terhadap cuaca panas dan kualiti udara sedang dilaksanakan di seluruh Sarawak bagi memastikan sebarang risiko kepada orang awam dapat ditangani sewajarnya.
Berdasarkan kemas kini keadaan kualiti udara pada 8.00 pagi hari ini, sebanyak 18 lokasi pemantauan merekodkan bacaan PM2.5 antara 68 hingga 190.
Daripada jumlah itu, 11 lokasi merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat, enam lokasi pada tahap sederhana dan satu lokasi pada tahap baik.
IPD Serian merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 190, diikuti Kuching dan Lubok Antu masing-masing 181, Lundu (179), Samarahan (177), Sri Aman (174) dan Sarikei (172).
Sehubungan itu, JPBNS turut menyarankan aktiviti atau majlis yang melibatkan orang ramai, khususnya program luar bangunan dan aktiviti keramaian, ditangguhkan ke tarikh yang bersesuaian sebagai langkah mengurangkan pendedahan kepada kualiti udara tidak sihat.
Orang ramai turut dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, khususnya apabila bacaan kualiti udara berada pada tahap tidak sihat atau lebih tinggi, selain mengelakkan aktiviti fizikal lasak dan sukan di luar sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk.
Golongan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai masalah pernafasan atau jantung turut dinasihatkan mengehadkan pendedahan kepada udara tercemar.
JPBNS juga mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, selain mendapatkan maklumat berkaitan kualiti udara melalui saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan.
Oleh Afiq Sallehi





