
SIBU: Seramai 252 mangsa banjir kini ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di Bahagian Sibu berikutan banjir yang melanda beberapa kawasan sejak beberapa hari lalu.
Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, PPS yang diaktifkan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Arip, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Assek dan Dewan Masyarakat Jeriah.
Menurut beliau, PPS SK Bukit Arip menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 238 orang daripada 61 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan penduduk tiga rumah panjang serta sebuah klinik kesihatan yang terjejas akibat banjir.
“Mangsa terdiri daripada 18 KIR dari Rumah Jimbai, 16 KIR dari Rumah David, 27 KIR dari Rumah Janting serta tiga individu dari Klinik Kesihatan Sungai Arip,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Masyarakat Jeriah sempena penyerahan sumbangan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) kepada mangsa banjir, semalam.
Beliau berkata, PPS Dewan Masyarakat Jeriah sebelum ini menempatkan dua KIR melibatkan tujuh mangsa, manakala PPS SMK Bukit Assek yang mula beroperasi semalam kini menempatkan satu KIR dengan tujuh mangsa.
“PPS Dewan Masyarakat Jeriah akan ditutup selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila keadaan disahkan selamat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Mohamad Porkan berkata setiap keluarga yang berpindah ke PPS layak menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000.
Selain itu, mangsa turut menerima bantuan bakul makanan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan makanan sebanyak tiga kali sehari.
“Petros turut menyalurkan baucer makanan bernilai RM350 kepada setiap keluarga serta sumbangan pakaian terpakai,” katanya.
Beliau menegaskan kebajikan mangsa banjir dan petugas barisan hadapan sentiasa diberi perhatian, dengan semua agensi berkaitan terus bekerjasama bagi memastikan pengurusan bencana berjalan lancar.
Turut hadir Pegawai Daerah Selangau Yalin Asan, Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sibu Mej (PA) Mohd Reduan Aini, serta tetamu kenamaan yang lain.
Oleh Tarani Lanting