
KUCHING: Satu memorandum persefahaman (MoU) tiga pihak telah ditandatangani untuk meneroka pembangunan loji penapisan peluwap di Sarawak.
Majlis pertukaran MoU itu melibatkan Senari Synergy Sdn Bhd, Tulen Energy Sdn Bhd, dan Ocean Vantage Engineering Sdn Bhd, anak syarikat Ocean Vantage Holdings Bhd yang berlangsung semasa Minggu Penyambungan Majlis Industri Tenaga (EIC) di sini, hari ini.
Ia disaksikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Loji penapisan yang dicadangkan itu akan memproses peluwap keluaran tempatan, hasil sampingan industri gas asli Sarawak yang berkembang pesat, menjadi produk ditapis bernilai tinggi seperti nafta, bahan api jet, diesel, dan LPG (gas petroleum cecair),” kata Tulen Energy dalam satu kenyataan.
Inisiatif ini sejajar dengan visi jangka panjang Sarawak untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab tenaga serantau. Ia bertujuan memacu pertumbuhan industri melalui pelaburan hiliran yang strategik.
Loji penapisan peluwap berkenaan akan merangsang aktiviti ekonomi, menarik pelaburan asing dan tempatan, serta menyokong pengembangan sektor petrokimia.
“Beribu-ribu pekerjaan akan diwujudkan di seluruh operasi loji penapisan, logistik, kejuruteraan, dan perkhidmatan sokongan. Loji penapisan ini akan membantu mengurangkan kebergantungan kepada bahan api bertapis yang diimport, memastikan bekalan bahan api yang lebih stabil dan selamat untuk Sarawak dan Malaysia,” kata Tulen Energy.
Dengan permintaan yang meningkat untuk bahan mentah petrokimia dan bahan api bertapis di Asia, Sarawak boleh memanfaatkan kemudahan minyak dan gas Bintulu yang mantap untuk menjadi pengeksport utama ke pasaran seperti China, Jepun dan Korea Selatan.
Bagi Senari Synergy, Tulen Energy dan Ocean Vantage, projek itu mewakili pengembangan strategik ke dalam pemprosesan hiliran, mempelbagaikan portfolio perniagaan mereka dan mengukuhkan peranan mereka dalam sektor tenaga serantau.
Konsortium berkenaan bertujuan memaksimumkan nilai sumber asli Sarawak melalui penapisan dalam negara, mewujudkan kehadiran yang kukuh dan aliran pendapatan jangka panjang dalam industri minyak dan gas hiliran sambil membangunkan model loji penapisan yang mampan dan berdaya saing.
“Inisiatif ini sejajar dengan matlamat peralihan tenaga Malaysia, mempromosikan alternatif bahan api yang lebih bersih dan pengurusan sumber yang bertanggungjawab,” kata kenyataan itu.
Pengarah Urusan Kumpulan Senari Synergy Datuk Jefri Ahmad Tambi berkata MoU itu menandakan langkah penting ke arah merealisasikan cita-cita Sarawak untuk menjadi pemain utama dalam industri minyak dan gas hiliran.
“Dengan menapis peluwap secara tempatan, kami mencipta nilai ekonomi yang besar sambil memastikan masa depan tenaga yang selamat untuk rantau ini,” katanya.
Pengarah Tulen Energy Farid Wahid berkata kerjasama itu akan membolehkan memanfaatkan kepakaran mereka dan memacu peluang-peluang baharu dalam sektor penapisan.
“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan kongsi kami dan kerajaan Sarawak untuk merealisasikan projek ini,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Vantage Willie Ho berkata perkongsian berkenaan bukan sahaja akan mengukuhkan rantaian bekalan tempatan tetapi turut memupuk pertumbuhan syarikat-syarikat Sarawak dalam industri minyak dan gas.
“Ocean Vantage berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif ini, yang selaras dengan misi kami untuk mempelbagaikan portfolio kami, berinovasi dan memacu kesan yang positif kepada alam sekitar,” katanya. – Bernama