KUCHING: Tiga lelaki yang belum dikenal pasti identitinya tergamak memotong lima grill tingkap untuk menyeludup masuk ke dalam sebuah rumah kini dalam buruan pihak polis.
Kejadian berlaku sekitar 2.00 pagi tadi di sebuah rumah beralamat di Taman Desa Paul, Penrissen, Kota Sentosa diceroboh masuk oleh tiga lelaki bersenjata dan licik kerana bertopeng untuk menutup identitinya.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pemilik rumah yang tidur di tingkat bahagian atas itu dikejutkan oleh tiga lelaki bersenjata dan turut menggerakkan rakan serumahnya yang sedang todur di dalam bilik berasingan sebelum mengikat mereka dengan kabel telefon.
Beliau berkata hasil siasatan awal, antara barangan yang dicuri ialah rantai emas, wang tunai berjumlah RM3,200, beg dan pasport antarabangsa.
“Ketiga-tiga perompak sempat mengambil sebilah pisau dari dapur rumah berkenaan.
“Kedua-dua mangsa diarah masuk ke dalam bilik lain ketika perompak mengeledah rumah mangsa.
“Perompak keluar dari rumah pada 4.40 pagi dan pemilik rumah (mangsa) sempat membuka ikatan kabel telefon,” jelasnya.
Abang Zainal berkata, polis sedang menyiasat dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat untuk memaklumkan kepada polis.
Oleh Connie Chieng