Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Tiga perkara menarik hujung minggu Liga Perdana Inggeris
  • SUKAN

Tiga perkara menarik hujung minggu Liga Perdana Inggeris

Utusan Sarawak 4 hours ago
KAPTEN Arsenal Martin Odegaard memberi tepukan kepada penyokong selepas kemenangan 1-0 pasukannya ke atas Newcastle. Foto AFP

LONDON: Arsenal mengambil kesempatan terhadap komitmen Manchester City dalam Piala FA untuk kembali merampas takhta Liga Perdana hujung minggu ini, manakala Tottenham yang bergelut di zon penyingkiran akhirnya kembali meraih kemenangan.

The Gunners menewaskan Newcastle 1-0 untuk mendahului City dengan kelebihan tiga mata, namun sudah bermain satu perlawanan lebih banyak berbanding pencabar mereka itu.

Pasukan kendalian Pep Guardiola pula menewaskan Southampton di Wembley untuk mara ke final Piala FA, sekali gus terus memburu treble domestik.

Pada satu ketika Sabtu lalu, Spurs dilihat berpeluang keluar dari zon penyingkiran, namun jaringan lewat West Ham menyebabkan mereka kekal di tangga ke-18.

Liverpool pula mencatat kemenangan liga ketiga berturut-turut untuk mengukuhkan usaha memburu slot Liga Juara-Juara, tetapi Mohamed Salah mungkin telah memainkan perlawanan terakhirnya bersama kelab itu.

AFP Sport melihat tiga topik utama hujung minggu Liga Perdana:

1. Jadual ‘gila’ Arsenal

Martin Odegaard menyifatkan jadual Arsenal sebagai “gila” selepas kemenangan tipis di Emirates yang hadir selepas tempoh keputusan mengecewakan.

Kapten Arsenal itu terlibat dalam gerakan sepakan penjuru pendek bijak yang disudahkan dengan bergaya oleh Eberechi Eze.

Namun, Eze kemudian terpaksa dikeluarkan bersama Kai Havertz, pada hari Arsenal akhirnya menyambut semula kepulangan Bukayo Saka daripada masalah tendon Achilles.

Kecederaan itu boleh memberi kesan besar menjelang aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid pada Rabu ini.

Odegaard sendiri bergelut dengan masalah kecergasan musim ini dan ketika Arsenal memburu gelaran berganda Liga Perdana serta Liga Juara-Juara, mereka tidak mampu kehilangan pemain utama.

“Kami akan berjuang setiap hari dan menantikannya,” kata pemain Norway itu kepada Sky Sports.

“Jadual memang gila, tetapi inilah hakikatnya. Kami sudah biasa, kami hanya perlu teruskan. Ini penghujung musim, jadi berikan segala-galanya dan berjuang dalam setiap perlawanan untuk setiap kemenangan.”

ARSENAL kembali mendahului carta Liga Perdana Inggeris. Foto AFP

2. Harapan Spurs

Roberto De Zerbi mengulangi kepercayaannya bahawa satu kemenangan mampu mengubah segalanya menjelang perlawanan Tottenham menentang Wolves, dan anak buahnya membuktikannya di Molineux.

Kegembiraan kemenangan pertama Liga Perdana sejak Disember itu bagaimanapun sedikit tercalar selepas West Ham menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan menentang Everton, menyebabkan mereka kekal dua mata di depan Spurs, dengan Wolves dan Burnley sudah pun tersingkir.

Kelab London itu yang menang 1-0 kini berdepan baki jadual sukar menentang Aston Villa, Leeds, Chelsea dan Everton.

“Saya harap keputusan ini boleh mengubah sesuatu dalam fikiran dan mentaliti kami untuk perlawanan seterusnya,” kata pengendali dari Itali itu.

Beliau turut menggesa pemainnya agar tidak memikirkan keputusan pasukan lain.

PENYOKONG Tottenham meraikan jaringan pasukan mereka ketika menentang Wolves. Foto AFP

“Mereka perlu positif, penuh keyakinan kerana mereka bagus, dan tidak perlu melihat keputusan lain seperti West Ham.”

3. Perpisahan awal buat Salah?

Anfield bangkit memberikan tepukan kepada Mohamed Salah selepas beliau meninggalkan padang sebelum sejam permainan dalam kemenangan 3-1 Liverpool ke atas Crystal Palace akibat kecederaan hamstring.

Penyerang Mesir itu bertepuk tangan ke empat penjuru stadium, seolah-olah menikmati detik istimewa itu ketika penyokong membalas penghargaan.

Pengurus Liverpool, Arne Slot, berkata beliau belum pasti sama ada Salah, yang sudah membuat lebih 400 penampilan dan menjaringkan 257 gol untuk kelab, akan beraksi lagi musim ini.

“Kami perlu tunggu dan lihat tahap kecederaannya dan sama ada dia boleh kembali bermain,” kata jurulatih Belanda itu.

PENYERANG Liverpool Mohamed Salah memberi tepukan kepada penyokong di Anfield ketika meninggalkan padang akibat kecederaan. Foto AFP

“Apa yang saya tahu mengenai Mo, sepanjang bertahun-tahun ini dia menjaga tubuh badannya dengan sangat baik, jadi dia akan mengambil tempoh minimum diperlukan untuk pulih.”

Kemenangan itu mengangkat Liverpool ke tangga keempat dengan 58 mata, menyamai Aston Villa dan Manchester United serta lapan mata di depan Brighton.

Lima pasukan teratas dijamin slot Liga Juara-Juara musim depan dan kedudukan semasa dilihat sukar digugat. – AFP

Continue Reading

Previous: Piala Uber: Malaysia mara ke suku akhir selepas 16 tahun
Next: Salah tetap dapat perpisahan istimewa di Anfield – Van Dijk

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.