Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • Tiga pemuda hidupkan kembali tarian tradisional kalangan Gen Z
  • INSPIRASI

Tiga pemuda hidupkan kembali tarian tradisional kalangan Gen Z

Utusan Sarawak 7 hours ago
TIGA pemuda Gen Z, (dari kiri)Muhammad Azrai Mohd Shamsol Bahri, Muhammad Hafizman Haqeem Mohammad Ariff (tengah) dan Muhammad Ammar Alexander Mohd Sufiann (kanan), membuktikan anak muda tidak hanya mengikut trend Barat di TikTok. Mereka menonjol di pentas tarian tradisional seperti zapin dan joget, sekali gus mengangkat dan memelihara khazanah budaya negara. – Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Lagu ‘Jodoh Lebaran’ nyanyian Aisha Retno menjadi fenomena Aidilfitri sebagai lagu raya paling gempak kali ini, ramai tanpa mengira usia turut serta dengan aksi kreatif mendendangkan joget tradisional mengikut rentak muzik itu sehingga tular di media sosial. 

Tampil segak berbaju melayu bagi lelaki dan anggun berbaju kurung ataupun berkebaya bagi wanita, trend menggayakan tarian tradisional mengikut aksi penyanyi muda itu dalam video muzik lagunya, turut menyaksikan kebangkitan generasi Z (Gen Z)  mengangkat khazanah seni warisan negara.

Paling mencuri perhatian, sebuah video berdurasi 32 saat yang menampilkan tiga rakan di bawah kumpulan penari bebas, Nyala Dance Theatre yang mempamerkan ketangkasan gerak tari zapin dan joget secara kemas serta bertenaga, meraih 2.3 juta tontonan dan 178,400 tanda suka di TikTok.

Kelincahan dan keindahan gerak tari tiga anak muda, Muhammad Ammar Alexander Mohd Sufian (17), Muhammad Hafizman Haqeem Mohammad Ariff (26) dan Muhammad Azrai Mohd Shamsol Bahri (24) mendapat pujian ramai netizen yang menyifatkan mereka sebagai pelapis keseinambungan budaya. 

Bagi Muhammad Ammar Alexander atau Alex, minatnya terhadap tarian tradisional bersemai sejak kecil apabila didedahkan kepada ilmu tarian ketika berusia enam tahun selain pengaruh keluarganya yang terlibat dalam bidang berkenaan. 

“Ahli keluarga termasuk ibu bapa juga aktif menari, jadi saya banyak terikut mereka. Memang masa tengok gerak tari itu, rasa macam ‘wow hebatnya…sebab setiap tarian itu, sebenarnya menceritakan kisah tersendiri,” katanya kepada Bernama. 

Alex yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dan berhasrat mahu menceburi kerjaya dalam bidang teknologi maklumat, berazam untuk terus memperjuangkan seni warisan itu bagi memastikan teknik dan identiti bangsa tidak lenyap ditelan zaman.

“Saya tidak mahu pada masa depan tarian tradisional dilupakan. Benda ini yang patut kita bangga, kita hargai warisan moyang kita,” katanya yang turut gemar menjiwai “vibe” klasik.

KELINCAHAN dan keindahan gerak tari tiga anak muda, mendapat pujian ramai netizen yang menyifatkan mereka sebagai pelapis keseinambungan budaya. Foto Bernama

Bagi Muhammad Hafizman Haqeem pula, menarikan tarian tradisional bukan sekadar hobi tetapi medium keseimbangan antara kerjaya dan terapi minda di sebalik kesibukannya menggalas tugas sebagai pakar sumber manusia di sebuah firma di Petaling Jaya.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan, Universiti Putra Malaysia itu turut membawa misi besar untuk membetulkan persepsi masyarakat terhadap penari lelaki yang sering dilabelkan sebagai “lembut” menerusi ketegasan gerak tari yang dipersembahkan.

“Kami mahu pecahkan stigma. Anda tidak perlu menjadi lembut untuk menari. Kami mahu tunjukkan bagaimana gaya tarian lelaki yang sepatutnya, bukannya imej lembut sepertimana tanggapan sesetengah pihak,” katanya. 

Sementara itu, Muhammad Azrai melihat gandingan mereka sebagai medium terbaik untuk merapatkan ukhuwah biarpun masing-masing datang daripada latar belakang kerjaya dan pendidikan berbeza.

Mula menari sejak berusia 18 tahun, pemuda ini turut menggunakan pengaruh media sosial untuk mendidik masyarakat mengenali kepelbagaian tarian tradisional melalui ruangan komen sekali gus membolehkan penonton memahami keunikan warisan Melayu dengan lebih mendalam.

“Anak muda sekarang semakin meminati (tarian tradisional) dan nak tahu lebih mendalam tentang warisan budaya kita. Sebenarnya, menari merapatkan hubungan kami walaupun masing-masing datang dari tempat kerja, sekolah atau rumah yang jauh untuk latihan,” ujar pemegang ijazah sarjana muda Multimedia Kreatif itu. – Bernama

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Katak ‘Bullfrog’ jadi punca rezeki

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.