PUTRAJAYA: Tiga pegawai imigresen, seorang daripadanya wanita, direman lima hari bermula semalam kerana disyaki menerima wang suapan bagi mempercepatkan proses pengeluaran pas kepada warga asing untuk kembali ke negara asal tanpa melalui Sistem Temujanji Online (STO).
Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman sehingga 14 September ini selepas mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini semalam.
Menurut sumber SPRM, mereka yang berumur antara 33 dan 35 tahun ditahan antara 12.00 tengah hari dan 5.50 petang di Ibu Pejabat SPRM di sini Rabu lepas ketika hadir memberi keterangan.
Mereka dibawa ke mahkamah kira-kira 9.50 pagi dengan berpakaian biasa dan tangan bergari.
Menurut sumber SPRM, kegiatan itu dipercayai beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan, di mana pegawai terbabit berurusan dengan orang tengah bagi menguruskan pengeluaran pas bagi warga asing yang tinggal melebihi tempoh di negara ini untuk kembali ke negara asal mereka.
Sumber itu berkata, sebagai balasan ketiga-tiga suspek dikatakan mengambil suapan antara RM300 dan RM500 bagi setiap pas yang dikeluarkan tanpa melalui STO.
Menurut sumber Rabu leps, anggota SPRM itu dua individu termasuk seorang pegawai imigresen turut direman lima hari bagi membantu siasatan kes yang sama.
Pengarah SPRM Putrajaya Hasbilah Mohamad Salleh yang mengesahkan penahanan itu berkata, kesemua individu itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009. – Bernama