KUCHING: Program Bermukun Se-Borneo yang melibatkan tiga negara iaitu Malaysia, Republik Indonesia dan Brunei Darussalam menyediakan landasan terbaik untuk memartabatkan seni budaya bermukun dalam kalangan masyarakat serantau.
Pengarah Bahagian Program radio Jabatan Penyiaran Malaysia, Saifuzzaman Yusop berkata penganjuran program itu bagi kali ke-24 pada tahun ini dari 7 hingga 11 November di Kuching.
“Perbezaan bahasa dan dialek tidak menjadi penghalang untuk tiga negara bersatu dan bekerjasama menjayakan program ini sekali gus mengekalkan seni budaya warisan dan tradisi turun temurun kita.
”Selain itu, menerusi program ini juga kita berharap ia dapat menarik lebih ramai generasi muda untuk mempelajari dan mendalami seni bermukun daripada golongan veteran agar ia tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media program itu di Auditorium Kecil Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kuching, di sini, hari ini.
Saifuzzaman berkata Malaysia akan diwakili seramai sembilan peserta dari RTM manakala Brunei Darussalam dan Republik Indonesia masing-masing menghantar tiga wakil dari Radio Televisyen Brunei (RTB) dan Radio Republik Indonesia (RRI).
Sementara itu, Ketua Delegasi RRI dari Jabatan Fungsional Tertentu (JFT), Diana Rusnawati yang senada dengan Saifuzzaman berkata penganjuran program itu adalah bertepatan dengan perubahan minat generasi muda pada hari ini yang lebih tertarik kepada hiburan moden.
”Jika kita lihat pada hari ini terlalu banyak hiburan moden dari seluruh dunia dalam media sosial dan sebagainya yang dapat mempengaruhi pemikiran anak-anak muda.
”Justeru, kita juga berasa bertanggungjawab untuk mengekalkan budaya atau seni bermukun ini menerusi program yang kita adakan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Ketua Unit Harmoni FM yang merupakan Ketua Delegasi RTB, Noor Hawadah Ramle memberitahu hiburan bermukun di Brunei tidak hanya dipelopori oleh golongan veteran malah berjaya menarik minat anak-anak muda.
Jelasnya, penganjuran pertandingan, bengkel dan latihan yang dilakukan secara konsisten dalam usaha mengangkat martabat seni budaya itu menunjukkan hasil positif apabila menerima semakin banyak penyertaan daripada anak-anak muda saban tahun.
Difahamkan, siaran langsung program ini akan diadakan pada 9 November bermula 8.30 hingga 10.30 malam menerusi saluran radio SARAWAKfm, manakala penstriman secara langsung akan dibuat menerusi Facebook SARAWAKfm dan siaran di RTMKlik.
Turut hadir dalam sesi sidang media tersebut ialah Pengarah Penyiaran Sarawak, Wan Azhan Wan Hamat.
Oleh RYNNA SHA’ERRA