
SRI AMAN: Tiga individu disahkan maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan di Lebuh Raya Pan Borneo Serian-Sri Aman berhampiran Kampung Selepong Jinggau, pagi tadi.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu 8.30 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman digerakkan ke lokasi kejadian.
Pasukan bomba yang diketuai Komander Operasi, Edwin Jonani, tiba di lokasi 8.52 pagi dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah Proton X70 dan sebuah Perodua Alza.

Kemalangan tersebut turut mengakibatkan kebakaran 100 peratus pada kenderaan Perodua Alza, namun kesemua tiga mangsa yang berada di dalam kenderaan itu berjaya menyelamatkan diri dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Bagaimanapun, nahas itu meragut nyawa tiga mangsa dari Proton X70, iaitu seorang lelaki dewasa berusia 70 tahun serta dua wanita berusia 22 tahun, yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
Dua lagi mangsa dari Proton X70, masing-masing kanak-kanak lelaki berusia enam dan empat tahun, mengalami kecederaan di kepala sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bomba dan dihantar ke Hospital Sri Aman untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, tiga mangsa dalam Perodua Alza terdiri daripada seorang wanita dewasa serta dua kanak-kanak lelaki, termasuk seorang berusia 10 tahun, dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Sri Aman menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).
JBPM Sarawak memaklumkan tiada mangsa tersepit dalam kejadian tersebut, manakala pasukan bomba menjalankan kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya.
Selepas operasi pemadaman, anggota bomba turut melakukan kerja pembersihan di kawasan kemalangan bagi memastikan laluan selamat digunakan semula, sebelum menyerahkan tiga mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang melibatkan tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah EMRS itu berjaya dikawal 9.00 pagi dan ditamatkan sepenuhnya 10.00 pagi.
Turut berada di lokasi ialah empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan empat anggota KKM.
Oleh Adi Safarman