KUCHING: Tiga orang maut dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat di Kampung Gita malam ini.
Pengarah Bomba Sarawak Datu Khirudin Drahman berkata, ketiga-tiga mangsa dipercayai meninggal dunia akibat terhidu asap.
“Hanya mangsa lelaki ditemui dengan sedikit kesan melecur di lengannya – berkemungkinan besar disebabkan serpihan api.
“Punca sebenar kematian masih perlu disahkan oleh Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak (SGH),”katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kebakaran iaitu Lorong Bunga Tongkeng Kampung Gita.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7.03 malam.
“Anggota bomba dari balai bomba Petra Jaya dan Batu Lintang berjaya memadamkan kebakaran kira-kira jam 8 malam.
“Ketika sedang memadamkan api, pihak bomba dimaklumkan terdapat tiga individu berada di dalam rumah tersebut.
“Sejurus api berjaya dikawal, mereka memasuki rumah berkenaan kira-kira jam 8.30 malam dengan menaiki tangga ke tingkat dua dan menemui salah seorang maut di dalam sebuah bilik pada jam 8.40 malam.”
Pencarian seterusnya membawa kepada penemuan dua lagi mangsa di tingkat dua rumah
Sehingga jam 10 malam, Bomba masih berusaha memadamkan kebakaran di rumah berkenaan yang berkeluasan sekitar 418 meter persegi.
Turut musnah, dalam kebakaran empat buah kenderaan manakala sebuah lagi kereta rosak 50 peratus.
Dimaklumkan, salah seorang mangsa kebakaran merupakan pesara iaitu bekas Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan, Affandi Keli, antara tiga yang maut dalam kebakaran di Lorong Bunga Tongkeng di Gita di sini malam ini.
Affandi yang juga bekas pengarah di Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) ditemui di dalam rumah oleh anggota bomba bersama anak perempuannya Aneeqa Affandi, 35, dan anak saudara Nor Hasyidah Ajis, 22.
Aneeqa bertugas di salah sebuah hotel di Jalan Nanas di sini.
Sumber ahli keluarga memberitahu, suami Aneeqa yang kini berada di Perth, Australia dijangka pulang esok jika ada penerbangan.